"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bapa syukur anak tak dirogol

"Biarpun anak saya cedera parah sehingga retak kepalanya tapi saya redha dan bersyukur kerana dia tidak dirogol dan dapat ditemui semula," kata Mohd. Roslan Ali, 46, bapa kepada pelajar tingkatan tiga yang diculik di Besut, kelmarin.

Menurut Roslan, doktor memberitahunya bahawa anaknya, Nurmuni Ainun Izzati, 15, tidak dirogol biarpun pemeriksaan awal mendapati mangsa ditemui dengan seluar dalamnya terlondeh.

"Saya langsung tidak menyangka kejadian itu akan menimpa anak saya, dia telah diculik dan hampir dirogol ketika pulang dari kelas tambahan semalam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kota Bharu hari ini.

Nurmuni kini dirawat di HUSM kerana mengalami keretakan pada bahagian kepala serta beberapa kecederaan parah di badan akibat kemalangan tersebut bagaimanapun dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Mengimbas kejadian itu katanya beliau hanya menyedari anaknya diculik apabila seorang guru dari sekolah berkenaan datang ke rumahnya memberitahu anak keenam daripada 12 orang adik beradik itu dilarikan oleh penjenayah dengan menaiki sebuah Perodua Kenari kira-kira pukul 4.30 petang.

"Pada mulanya, anak keempat saya yang merupakan abang kepada Nurmuni, Mohd. Yusri, 19, yang pergi menjemput adiknya di sekolah, sampai sejam lebih awal menyebabkan Yusri mengambil keputusan pulang dulu ke rumah.

"Sejam selepas itu iaitu kira-kira pukul 4.30 petang isteri saya, Hamidah Musa, 40, pula bercadang untuk keluar menjemput Nurmuni di sekolah, tetapi ketika sedang bersiap-siap, kami didatangi guru berkenaan yang membawa berita buruk itu," katanya.

Mohd. Roslan berkata, terkejut dengan berita itu beliau dan guru berkenaan kemudian bergegas ke Balai Polis Kampung Raja, Besut untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.

Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di balai berkenaan, seorang anggota polis memaklumkan terdapat sebuah kenderaan jenis yang sama berwarna biru terbabas berhampiran rumahnya di Kampung Limbongan.

"Pada mulanya saya kurang berminat dengan apa yang diberitahu polis itu cuma terfikir sejenak kerana kereta itu sama jenis dengan kereta penculik anak saya yang diberitahu guru itu.

"Beberapa minit selepas itu saya menerima panggilan telefon dari salah seorang adik saya memaklumkan anak saya ada ditemui di dalam kenderaan itu dengan keadaannya cedera parah," katanya.

Menurutnya beliau kemudian segera ke tempat kejadian sebelum bergegas membawa anaknya ke Hospital Besut.

"Kemungkinaan anak saya berhadapan cubaan rogol menyebabkan dia melawan sehingga berlaku pergelutan dan menyebabkan kenderaan itu terbabas," katanya.

Mohd. Roslan berkata beliau difahamkan ada penduduk kampung yang melihat kenderaan itu terjunam ke dalam parit sebelum ternampak dua lelaki bergegas keluar dan melarikan diri dari kenderaan itu.

Beliau bagaimanapun berkata kedua-dua lelaki itu berjaya ditahan polis dan penduduk kampung yang melakukan operasi segera untuk mengesan mereka.

-Bernama-

Tiada ulasan: