"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

32 anggota polis KL terlibat dadah, enam diberhentikan

KUALA LUMPUR: Seramai 32 anggota polis dari kontinjen Kuala Lumpur ditahan kerana terlibat dalam kancah penyalahgunaan dadah sejak Januari tahun ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, enam dari mereka telah ditamatkan perkhidmatan manakala yang lain telah digantung kerja sementara menunggu tarikh perbicaraan.

"Kami tidak berkompromi dengan mana-mana anggota mahupun pegawai yang terlibat dalam najis dadah dan tidak teragak-agak untuk menamatkan perkhidmatan mereka meskipun telah berkhidmat lama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur, hari ini.

Muhammad Sabtu berkata, kebanyakan anggota yang ditahan baru berkhidmat dengan pasukan polis tetapi ada juga yang telah berkhidmat selama 30 tahun.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing kini dijalankan di setiap balai pada setiap hari terutamanya apabila ada anggota yang dilihat dalam keadaan mencurigakan dan disyaki mengambil dadah.

"Diingatkan juga, adalah menjadi kesalahan bagi warga polis jika mengunjungi pusat hiburan untuk berhibur selain dari atas sebab tugasan seperti serbuan atau tujuan risikan dengan mendapat arahan dari pihak atasan," katanya.

Beliau berkata, anggota polis yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah boleh menyerah diri pada Agensi Anti Dadah Kebangsaan untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, beliau juga tidak berpuas hati akan tahap kesihatan kebanyakan anggotanya yang mengambil ringan dan tidak peka dengan keadaan kesihatan mereka.

Dari Januari hingga kini seramai 14 warga polis yang baru berusia 40-an meninggal dunia akibat sakit kronik termasuk darah tinggi, diabetis dan sakit jantung termasuk empat orang meninggal pada bulan ini atas sebab penyakit yang sama.

Katanya, kekuatan kontinjen Kuala Lumpur sekarang seramai 7,430 anggota termasuk kakitangan awam.

Mengenai kes rampasan minyak syabu bernilai RM40 juta dalam serbuan pada 22 dan 23 Julai lalu, beliau berkata polis kini sedang giat memburu seorang lagi suspek warga Iran yang dikesan bersembunyi di sebuah negara jiran.

"Kita sudah kenalpasti identiti suspek, pasport dia ada dengan kita...kita tahu dia di mana dan kita akan hubungi pihak berkuasa negara jiran itu bagi mengesan suspek," katanya.

Dalam serbuan itu, polis melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan tertangkapnya sepasang suami isteri rakyat Iran dan merampas minyak syabu tersebut dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang.

Tiada ulasan: