"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKR: Kenapa perlu 3 tahun tuduh Ling?

PKR mempersoalkan tindakan pihak polis dan peguam negara mengambil masa lebih tiga tahun bagi mendakwa bekas menteri pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik atas tuduhan memperdaya jemaah menteri.

Bendaharinya William Leong Jee Keen (kanan) berkata, perkara itu menimbulkan kecurigaan rakyat samada kerajaan betul-betul mempunyai keazaman politik untuk mengatasi rasuah atau sekadar gimik.

"Alasan yang diberikan oleh pihak-pihak berkuasa dalam menunda pendakwaan tersebut adalah tidak menyakinkan," katanya ahli parlimen Selayang itu sambil mempertingatkan dakwaan itu telah didedahkan media sejak Ogos 2007 lagi.

Dr Ling (
bawah, kanan) semalam didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia dengan memperdaya Jemaah Menteri berhubung pembelian tanah untuk projek "Mega Distribution Hub" di Pelabuhan Klang.

Ling didakwa menipu kerajaan sekitar 25 September 2002 dan 6 November 2002 dengan memperdayakan jemaah menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Kelang.

Dia juga didakwa dengan curang menyembunyikan fakta berhubung penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah seluas 43,538,200 kaki persegi yang dicadangkannya.

Dalam satu kenyataan hari ini, William berkata banyak laporan oleh pelbagai badan bertindak dan jawatankuasa yang ditubuhkan sejak beberapa tahun ini menghebahkan terdapat ramai lagi tokoh terkenal yang terlibat dalam rasuah.

"Semua pihak yang terlibat tidak kira jawatan dan kedudukan perlu didakwa dan dibicara atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan dalam menyalahgunakan jawatan dan kedudukan yang diamanahkan kepada mereka atau dalam menipu Kerajaan.

"Pihak yang membantu atau menerima manfaat daripada jenayah-jenayah ini juga harus didakwa, dibicara dan dihukum atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan," katanya.

Menurutnya, kegagalan melakukan pendakwaan segera akan menimbulkan tanggapan bahawa pihak berkuasa mengamalkan pendakwaan terpilih.

"Demi membina semula keyakinan rakyat terhadap agensi-agensi kerajaan, semua pihak yang terlibat dalam skandal PFKZ mesti didakwa tanpa penangguhan dan pihak pendakwaan mesti mengadakan satu perbicaraan secara profesional dan cermat," katanya.

Tiada ulasan: