"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Liwat II: 'Hubungan romantis' jadi tumpuan

Pemindahan timbalan pendakwa raya Farah Azlina Latif dari Bahagian Pendakwaan, Pejabat Peguam Negara berhubung dakwaan 'hubungan romantis' dengan saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan dalam kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah yang kedua buatnya dalam tempoh beberapa bulan.

Menurut sumber, beberapa bulan lalu, Farah pernah dipindahkan dari Bahagian Rayuan dan Perbicaraan kepada Unit Jenayah Komersial di bawah Bahagian Pendakwaan setelah dinaikkan pangkat.

lingam tape panel meeting 031007 abdul gani patailBagaimanapun setakat ini belum dipastikan kali ini bahagian mana beliau akan dipindahkan berikutan keputusan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, Selasa lalu.

Selain Bahagian Pendakwaan, Rayuan dan Perbicaraan, terdapat lapan lagi bahagian, termasuk Hubungan Antarabangsa, Penggubalan, Penasihat, Kajian, Semakan dan Reform Undang-undang, Sivil dan Pengurusan.

Dua hari lalu, Abdul Gani, pada sidang akhbranya, mengesahkan Farah Azlina telah digugurkan daripada pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes liwat Anwar.

Sidang akhbar berkenaan diadakan bagi menjelaskan perkembangan terkini sekaligus menjawab persoalan mengenai hubungan Farah Azlina dan Mohd Saiful seperti yang disiarkan oleh laman web
Malaysia Today baru-baru ini.

Abdul Gani berkata, Farah Azlina terpaksa digugurkan bukan kerana beliau didapati bersalah tetapi bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif daripada orang ramai terhadap pasukan pendakwa.

"Jabatan Peguam Negara tidak boleh berkompromi dengan sebarang isu yang boleh menjejaskan nama baik atau kredibiliti jabatan dan kami sangat memandang serius perkara seumpama ini.

"Ini boleh menjadi sangat sukar bagi kita, tetapi sebarang perkara peribadi sekiranya boleh memberikan kesan dalam apa juga bentuk terhadap jabatan ini akan ditangani dengan amat serius," katanya.

Tindakan itu diambil untuk memastikan kelancaran kes tidak terganggu, katanya.

Pertunangan dibatalkan

Sebelum kejadian itu, Farah Azlina dilaporkan akan melangsungkan perkahwinan tetapi membatalkannya seminggu sebelum tarikh yang dijadualkan itu. Sebab pembatalan itu juga tidak diketahui.

Sesetengah pihak juga dikatakan tidak senang dengan tindakan Abdul Gani yang memindahkan Farah Azlina dari Bahagian Pendakwaan sebelum siasatan terperinci dijalankan.

NONEAdalah dipercayai Mohd Saiful yang dikatakan telah bertunang dengan seorang personaliti media mungkin mengeluarkan kenyataan berhubung perkara berkenaan apabila “kena pada waktunya.”

Farah Azlina pada mulanya bukan sebahagian daripada pasukan asal pendakwaan dalam kes perbicaraan Anwar tetapi dibawa kemudiannya selepas seorang daripada timbalan pendakwa raya yang ditugaskan mengambil nota perbicaraan meletakkan jawatan.

Beliau mengambil alih tugas itu tetapi tidak terlibat dengan pendakwaan, kata Abdul Gani.

Perbicaraan kes liwat membabitkan Anwar bersambung Isnin ini dan isu 'hubungan romantis' Farah Azlina dengan Mohd Saiful dijangka akan menjadi tumpuan.

Ini berikutan surat dari peguam Anwar kepada Abdul Gani dan Peguam Cara II Negara, Datuk I Mohd Yusof Zainal Abiden, yang juga adalah ketua pendakwa -- menuntut penjelasan berhubung 'hubungan romantis' itu.

-malaysiakini-

Tiada ulasan: