"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tuala wanita dalam kemaluan

PERMATANG SUNGAI DUA: Kesakitan pada kemaluan seorang wanita yang baru melahirkan anak sulung akhirnya terjawab apabila sekeping tuala wanita (pad) ditemui dalam kemaluannya ketika pemeriksaan dilakukan di Hospital Kepala Batas.

Mohd Abd Muhaymin, 24, berkata, pada mulanya dia menyangka kesakitan yang dialami isterinya Noor Hidayah Abd Hamid, 24, hanyalah perkara biasa bagi setiap ibu selepas bersalin.

“Namun kesakitan berulang yang dialaminya sehingga menjadikan dia tidak dapat mengawal diri seperti diserang meroyan memeningkan kepala saya dan ahli keluarga mertua lain.

“Kami sekeluarga bukan sahaja hairan apabila dimaklumkan dia langsung tidak mengalami tumpah darah, tetapi terkejut kerana setiap kali mendekatinya akan terhidu bau busuk yang amat meloyakan seolah-olah menghidu bau busuk,” katanya.

Dia yang bertugas sebagai Pembantu Perangkaan di Jabatan Perangkaan Pulau Pinang, berkata, isterinya yang juga kakitangan Telekom Malaysia Berhad (TM) bersalin di sebuah hospital pada 15 Julai lalu.

Pasangan itu menimang cahaya mata perempuan seberat 2.8 kilogram melalui proses bantuan vakum disebabkan kekurangan tenaga dan tidak berpengalaman kerana pertama kali bersalin.

“Isteri kemudian dibawa pulang untuk berpantang di rumah mertua di Kampung Permatang Sungai Dua di sini. Selepas dua hari kemudian dia merasakan sukar membuang air kecil, manakala sisa darah hasil proses bersalin yang keluar dari kemaluannya tidak teratur dan dalam kuantiti yang amat sedikit.

“ Sejak itu, setiap kali mendekatinya kami akan terhidu bau busuk, manakala dia selalu mengadu sakit di bahagian kemaluan seolah-olah ada benda tersekat di saluran peranakannya,” katanya.

Bimbang tentang keselamatan diri isterinya Abd Muhaymin, kemudiannya membawa isterinya ke sebuah klinik swasta, namun doktor mengarahkan isterinya pulang dengan alasan apa yang dialami isterinya Noor Hidayah adalah perkara biasa selepas bersalin.

“Selepas 12 hari kemudian, bau busuk pada kemaluan isteri semakin ketara sehingga menyebabkan ibu mertua, Faridah Nor Mohd Desa, 54, mengarahkan saya membawanya ke klinik swasta kerana bimbang tentang tahap kesihatan anaknya.

“Selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta saya dirujuk ke Hospital Kepala Batas dan melalui pemeriksaan teliti akhirnya sekeping tuala wanita ditemui dalam kemaluan isteri saya,” katanya.

Abd Muhaymin kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara sejurus selepas itu.

“Saya amat kesal kerana kecuaian kakitangan hospital berkenaan menjadikan isteri saya menderita sakit dan terjejas tahap kesihatannya.

“Saya sedang berbincang dengan ahli keluarga terdekat kerana bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap hospital kerana kecuaian itu,” katanya.

Pengarah Hospital Kepala Batas, Dr Norshidah Ismail yang dihubungi mengesahkan penemuan tuala wanita di dalam kemaluan Noor Hidayah selepas pemeriksaan lanjut dilakukan sebaik dia dibawa mendapatkan rawatan petang semalam.

“Noor Hidayah kini berada di bawah seliaan kita dan akan dirujuk ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan lebih lanjut, manakala bayinya sihat,” katanya.

Tiada ulasan: