"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu PKFZ, Anwar Mahu Jemaah Menteri Disiasat

Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim menggesa Kerajaan Pusat untuk tidak melindungi mana-mana orang kenamaan yang terbabit dan bersubahat dengan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang.

Anwar berkata pendakwaan terhadap bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik bagaimanapun mengundang syak adanya usaha terancang untuk memperdaya dan menyelinap berbilion ringgit wang pembayar cukai.

Hujan lebat di kubu kuat bekas Menteri Datuk Seri Rafidah Aziz malam tadi tidak sedikit pun menghalang penduduk untuk bersama mendengar ceramah pemimpin reformasi ini. Kira-kira 1000 warga Kuala Kangsar membanjiri Markas Pas Bukit Chandan untuk mendengar perkembangan skandal PKFZ.

Tun Dr Ling mengaku tidak bersalah diatas dua pendakwaan dibawah Seksyen 418 dan 417 Kanun Keseksaan atas tuduhan memperdayakan Jemaah Menteri berhubung projek bernilai RM12.7 bilion itu.

Bekas Presiden MCA ini dituduh memperdayakan Jemaah Menteri untuk bersetuju meluluskan pembelian 999.5 ekar tanah milik koperasi nelayan Melayu di Pulau Indah pada harga RM25 satu kaki persegi dengan kadar faedah 7.5 peratus, iaitu nilai yang jauh lebih tinggi dari nilai sebenar di pasaran.

Bekas Presiden MCA ini juga mengeluarkan surat sokongan mengarahkan projek PKFZ ini diserahkan kepada syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd, milik Pengerusi Kelab Penyokong BN, Dato Seri Tiong King Sing.

Anwar menjelaskan bagaimana mungkin jemaah menteri mengizinkan Tun Dr Ling Liong Sik mengeluarkan surat jaminan untuk projek PKFZ, walhal undang-undang menetapkan bahawa hanya menteri kewangan yang boleh berbuat demikian.

Menteri Kewangan pada masa itu, adalah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Berapa lama kita bangkitkan PKFZ ini? Tiga tahun setengah, kita ada bukti mantan Menteri
Kewangan pada waktu itu. Saya keluarkan bukti pada waktu itu mustahil dia tidak tahu menteri tidak boleh jadi penjamin ketika itu bagi pihak kerajaan yang boleh hanya menteri kewangan sahaja tetapi Ling Liong Sik tandatangan.

“Umno menafikan selama ini, dia kata Anwar bohong! Anwar tidak betul kerana dia sengaja mahu timbulkan keraguan rakyat, sekarang kita lihat siapa yang bohong? Siapa yang rasuah? Ini apa yang kita sebutkan ini adalah semuanya berdasarkan fakta dan tidak boleh lari,” katanya.

Anwar menekan Kerajaan untuk tidak melindungi mana-mana pihak yang terbabit atau bersubahat dengan skandal ini.

Jika benar jemaah menteri menyedari adanya usaha untuk menipu berbilion ringgit wang pembayar cukai, maka kerajaan perlu menjustifikasikan penganugerahan gelaran Tun kepada Ling Liong Sik.

“Kita tengok apa yang berlaku di bawah pimpinan Tun Dr. Ling Liong Sik, daripada Datuk Seri kini jadi Tun sebab apa? Sebab hendak rompak tanah PKFZ. Pada masa itu semua orang sudah tahu tetapi masih mahu memberi gelaran Tun kepada beliau.”

Anwar meminta rakyat Malaysia supaya memperhebatkan tekanan kepada kerajaan supaya tidak melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam skandal ini.

“Semoga Allah S.W.T memberikan kekuatan kepada kita semua. Kita mesti istiqamah dalam perjuangan, insyaallah kita akan dapat hasilnya.

“Saya malam ini hedak masuk ke Johor malam ini tidak dapat mungkin, mereka bila sahaja nampak Anwar, semuanya tidak boleh, mereka menggeletar tetapi dalam Utusan Malaysia tiap-tiap hari kutuk Anwar,” katanya.

Tiada ulasan: