"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

JAKIM perlu perkenalkan logo HARAM

1.Kini lambakan barangan atau produk haram bagi ummat Islam kian bertambah malah semakin membimbangkan ummat Islam. Lebih malang terdapat produk yang menggunakan logo halal secara palsu.

2.Fenomena ini mencetus kekeliruan dan memerangkap ummat Islam dalam persaingan dunia perniagaan yang tidak bertanggungjawab.

3.Selain tindakan tegas dan penguatkuasaan secara serius perlu dilakukan oleh pihak kerajaan dan berkuasa agama seperti JAKIM, pihak berwajib ini juga mesti berani untuk mengisytiharkan produk-produk haram di pasaran agar tidak mengelirukan ummat Islam.

4.Setelah rakyat dididik dengan logo halal untuk menarik masyarakat pengguna agar mengambil dan menggunakan barangan halal, saya kira menjadi satu kewajipan juga bagi pihak kerajaan dan berkuasa agama mendidik rakyat dengan logo Haram untuk menjauhkan masyarakat ummat Islam dari mengambil dan menggunakan barangan haram.

5.Sebelum ini, telah banyak kali kita dengar pihak tertentu memalsukan logo halal untuk melariskan jualan mereka justeru mereka melihat logo halal boleh menarik orang untuk membeli barangan mereka biarpun tidak menepati piawaian barangan halal, sementara pihak JAKIM tidak mempunyai skuad yang memadai untuk membuat pemantauan yang serius.

6.Saya jangka, andainya JAKIM mengisytiharkan produk-produk tertentu yang tidak menepati piawaian halal sebagai produk tidak halal atau haram dan mewajibkan mereka menampal logo Haram jika mereka berkeras juga untuk menjual produk tersebut, peluang untuk lambakan barangan haram dipasaran akan menjadi lebih kecil. Pasti tiada siapa yang akan membeli barangan yang dilekatkan logo Haram jika mereka benar-benar mahu mencari produk halal di pasaran.

7.Sebahagian besar pengguna tidak mampu untuk mengenali dan mengetahui kod-kod barangan yang haram seperti produk yang mempunyai gelatin dan sebagainya termasuk produk haram yang diimport dari Israel. Kod-kod barangan yang mengandungi bahan-bahan haram hendaklah diganti dengan logo Haram.

8.Jika logo Haram dapat dikuatkuasa, maka mudahlah bagi JAKIM yang selalu menyatakan bahawa mereka mengalami kekurangan tenaga untuk memantau, justeru produk haram ini tidaklah sebanyak produk halal di pasaran.

9.Risiko pemalsuan logo Haram juga mungkin lebih kecil berbanding pemalsuan logo halal. Lantaran logo halal menarik perhatian pengguna sementara logo haram tentunya menjauhkan pengguna.

10.Kaedah Islam, asal sesuatu perkara [produk] ialah halal kecuali telah datang nas yang jelas mengharamkannya atau produk itu bercampur dengan bahan dan unsur haram. Ertinya yang haram ini jumlahnya jauh lebih kecil dari jumlah produk yang halal. Sepatutnya yang haram itulah diletakkan logonya iaitu Logo Haram bukan logo halal.

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Tiada ulasan: