"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Himpun: Keputusan PAS malam ini

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 18 Okt: Sama ada PAS menyertai atau tidak Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang dijadualkan Sabtu ini akan diputuskan malam ini.

Keputusan itu akan dibuat pada Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat yang akan diadakan malam nanti.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu mungkin dapat diketahui sekitar jam 11.00 malam ini.

Ketika dihubungi pagi ini, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, keputusan itu nanti dipatuhi semua organisasi PAS.

Semalam, PAS Selangor menyeru penganjur Himpun supaya menjauhkan dari sebarang usaha melaga-lagakan penganut agama hanya disebabkan dakwaan tanpa bukti mahkamah.

Pesuruhjayanya, Dr Abd Rani Osman berkata, biarpun Kristianisasi adalah satu ancaman, namun ancaman lebih besar yang sedang merosakkan akidah majoriti rakyat di negara ini adalah doktrinasi fahaman perkauman, sekularisme dan materialisme.

"Sebarang usaha melaga-lagakan antara penganut pelbagai agama dengan tidak beserta sebarang bukti kesalahan yang diputuskan mahkamah perlu dijauhi.

"Tindakan sebegini hanya bertujuan untuk menutup masalah sebenar yang menimpa umat Islam, di mana aqidah mereka dicemari oleh fahaman sekularisme dan sebagainya yang pada akhirnya meletakan kesalahan itu dibahu pihak lain," katanya pada sidang media di Pejabat PAS Selangor di Shah Alam.

Himpunan tersebut dijadual diadakan pada 22 Oktober di Stadium Shah Alam bermula jam 2.00 petang.

Tiada ulasan: