"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Liwat isteri: Ulasan Zul Noordin cetus kekecohan

Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 20 Okt: Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru (Bebas) menuduh hukum hudud yang hendak dilaksanakan oleh PAS membenarkan suami meliwat isteri.

Tuduhan tersebut dibuat oleh Datuk Zulkifli Noordin dengan kononnya dirujuk kepada draf dan Enakmen Hudud dan Qisas Terenggganu 2002 yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ketika PAS memerintah negeri itu dulu.

Menurut beliau, perkara itu dirujuk pada Seksyen 14 enakmen tersebut yang menerangkan tentang liwat yang dimaksudkan dengan seseorang lelaki memasukkan zakarnya ke dalam dubur seseorang lelaki atau perempuan, kecuali isteri.

Katanya, perkataan kecuali dengan isteri itu jelas membawa maksud seseorang suami boleh memasukkan zakarnya ke dalam dubur isterinya kerana ia tidak dimaksudkan meliwat.

"Inilah hudud PAS. Ini bercanggah dengan Islam. Dalam Islam, jika seseorang lelaki itu memasukkan zakarnya ke dalam dubur seseorang tidak kira dengan sesiapapun termasuk dengan isteri sendiri, ia tetap liwat.

"Tetapi dalam hudud PAS, itu tak dikatakan liwat. Maknanya suami boleh berbuat begitu dalam hudud PAS walaupun ia jelas bercanggah dengan ajaran Islam," kata ketika berucap pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Dengan itu, menurut beliau, enakmen tersebut bukanlah undang-undang Islam, tetapi hudud PAS yang dibuat oleh mereka yang kononnya tidak faham dengan undang-undang Islam tetapi hanya berlagak pandai untuk kepentingan politik.

Sebelum itu, Zulkifli mengatakan Enakmen tersebut kononnya bercanggah dengan Islam khususnya mengenai umur akhil baligh, apabila perlaksaan hudud hanya akan dikenakan ke atas mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

Menurutnya, dengan hanya akan melaksanakan Enakmen tersebut terhadap mereka yang berumur 18 tahun ke atas bermaksud PAS telah mengubah hukum Islam yang mengatakan seseorang lelaki akhil baligh setelah bermimpi, manakala perempuan pula setelah datang haid.

Katanya, dari segi umur, setelah berusia 15 tahun tidak juga bermimpi atau datang haid bermakna mereka telah dikira mumayyiz dan sampai umur serta boleh dilaksanakan undang-undang Islam terhadap mereka.

"Tetapi dalam hudud PAS akan dilaksanakan setelah berumur 18 tahun. Ini jelas bercanggah dengan Islam yang mewajibkan dilaksanakan hudud setelah seseorang itu mumayyiz iaitu yang telah mencapai usia 15 tahun," katanya.

Kesalahan-kesalahan seperti itu, katanya, sengaja dilakukan oleh para pemimpin PAS untuk membolehkan enakmen tersebut tidak boleh dilaksanakan kerana akan ditolak oleh Umno bagi meraih kepentingan politik.

Dakwaan-dakwaan tidak berasas beliau memaksa ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat terutama dari PAS dan PKR bangun menjelaskan perkara sebenar bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai yang sengaja dicetuskan itu sehingga menimbulkan kekecohan.

Beberapa orang ahli Parlimen dari BN pula termasuk dari Kinabatangan turut bangun mempertahanlkan Zulkifli, manakala Zulkifli sendiri enggan memberikan laluan kepada ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat menjelaskan kebenaran.

Sikap mereka menyebabkan persidangan menjadi semakin kecoh sehingga tamat tempoh masa Zulkifli dibenarkan berucap.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub ketika bangun mencelah menyatakan Zulkifli ternyata hanya berlagak pandai walaupun tidak tahu tentang undang-undang Islam sehingga tergamak membuat tuduhan seperti itu terhadap PAS.

Menurut beliau, dalam Al-Quran tidak dinyatakan had umur akhil baligh, tetapi seseorang yang telah sampai umur dirujuk kepada mereka yang telah mumayih yang tidak hanya berumur 15 tahun.

"Enakmen Hudud dan Qisas Terengganu 2002 itu dibuat oleh hakim-hakim yang pakar dalam undang-undang Islam. Itulah sebabnya enakmen itu dihadkan perlaksaaannya ke atas seseorang berusia 18 tahun ke atas kerana faktor kematangan.

"Mereka yang membuat undang-undang itu cukup faham tentang mumayyiz, tetapi dia (Zulkifli) tentang mumayyiz pun tak tahu, jadi macam mana layak bercakap tentang undang-undang Islam," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Manakala mengenai tuduhan hudud PAS membenarkan suami meliwat isteri yang dibuat oleh Zulkifli itu pula, beliau mengatakan dakwaan itu ternyata tidak berasas dan bohong sama sekali.

Katanya, enakmen tersebut tidak bermaksud demikian tetapi Zulkifli yang tidak memahaminya kerana kejahilannya sendiri.

Sebaliknya yang dimaksudkan dengan kecuali isteri dalam enakmen itu, katanya, seseorang suami tidak sekali-kali boleh memasukkan zakarnya ke dalam dubur isterinya kerana perbuatan itu adalah haram dalam Islam.

Sehubungan itu, beliau mengusulkan kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee agar membawa tuduhan Zulkifli itu kepada peraturan 26 (1P) bagi membolehkan ahli Parlimen tersebut dihadapkan kepada Jawatankuasa Tata Tertib Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, usul beliau ditolak oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat atas alasan tidak perlu.

Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad ketika bangun mencelah mengatakan Zulkifli ternyata berniat jahat terhadap PAS dengan tuduhan-tuduhan tidak berasasnya itu.

Manakala Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof dari PKR dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang juga dari PKR turut bangun menyatakan kebenaran.

Mereka turut mengutuk keras tindakan Zulkifli kerana tergamak membuat tuduhan-tuduhan tidak berasas sedemikian terhadap PAS dan enakmen tersebut.

Tiada ulasan: