SEORANG penduduk kampung yang enggan dikenali menunjukkan objek kecil dililit seperti pocong di Kampung Parit Sempadan, Batu Pahat semalam.
BATU PAHAT: Penduduk Kampung Parit Sempadan, Parit Raja di sini gempar pagi semalam dengan penemuan satu objek misteri yang dikafan seperti pocong di sebatang jalan menghala ke rumah seorang penduduk di situ.
Objek sepanjang 15 sentimeter itu ditemui oleh seorang penduduk kampung yang berjalan kaki menghantar anaknya untuk belajar mengaji kira-kira pukul 8.30 pagi.
Seorang pesara kerajaan yang hanya mahu dikenali sebagai Haji Mat memberitahu, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai penemuan objek misteri itu, dia bergegas ke tempat kejadian.
Katanya, ia dibungkus dengan kain putih dan diikat seperti jenazah sebelum diletakkan di pangkal pokok yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari rumahnya.
Di sebalik penemuan itu, dia percaya ada kemungkinan perbuatan itu dilakukan oleh pihak tertentu dengan niat untuk mengugut keluarganya.
“Saya berdebar-debar apabila melihat objek berbentuk pocong itu kerana percaya ia adalah amaran kepada keluarga saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Haji Mat memberitahu, kejadian pelik itu adalah yang pertama kali ke atas keluarganya sejak menetap di kampung itu pada tahun 1973.
-kosmo-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan