"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UIA gantung tugas Aziz Bari

Bukan sahaja diberi surat tunjuk sebab, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) juga menggantung tugas pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai pensyarah undang-undang universiti itu.

Malaysiakini difahamkan, perkara itu turut terkandung dalam notis yang dikeluarkan padanya daripada unit undang-undang UIA.

Pensyarah paling kanan di fakulti undang-undang itu digantung bergaji sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Selain itu, difahamkan Aziz juga tidak dibenarkan memasuki pejabatnya di kampus Gombak ekoran kad aksesnya harus dipulangkan kepada pentadbiran universiti.

Difahamkan penggantungannya itu akan menjejaskan lebih 100 pelajarnya daripada daripada peringkat sarjana muda hingga ke doktor falsafah (PhD).

Aziz berkhidmat dengan UIA sejak 22 tahun lalu.

Sementara itu, dalam surat tunjuk sebab yang diserahkan tangan kepada Aziz, beliau dituduh "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti".

Aziz diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawabnya.

Usaha Malaysiakini mendapat reaksi daripada bahagian perhubungan awam UIA setakat ini masih belum berhasil.

Bagaimanapun, Berita Harian hari ini melaporkan sumber dari pejabat rektor UIA, Datuk Prof Zaleha Kamaruddin mengesahkan surat itu dikeluarkan pihaknya semalam.

Aziz dalam masa yang sama disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung reaksinya kepada titah Sultan Selangor berhubung pemeriksaan sebuah gereja di Petaling Jaya.

Dalam kenyataannya yang disiarkan Malaysiakini, beliau berkata baginda sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Selepas dikritik pelbagai pihak, Aziz kemudian menjelaskan Akta Hasutan 1948 memperuntukan tidak menjadi kesalahan mengkritik Raja-Raja Melayu selagi tidak menuntut pemansuhan institusi itu.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: