"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tegak Islam bukan kerja main-main

Khairul Azlam Mohamad
KUALA TERENGGANU, 16 Okt: PAS mengingatkan orang Melayu Islam di negara ini agar berpegang kepada kerajaan yang berasaskan ajaran Islam.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan orang Melayu yang beragama Islam mesti berpegang kepada ajaran Islam.

Justeru, katanya kerja-kerja menegakkan Islam serta ajarannya bukan suatu kerja ‘main-main’.

"Kerja (tegak Islam) ini bukan kerja main-main, kerja ini kerja tuntutan daripada Allah SWT. Allah memerintahkan manusia jalankan keadilan," jelasnya.

Menurutnya, al-Quran yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad sejak 1,400 tahun lalu merupakan pegangan bukan hanya kepada orang Melayu sahaja tetapi seluruh manusia.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, kerajaan yang memerintah mampu melaksanakan Islam.

Oleh itu, katanya Nabi Muhammad s.a.w. yang menjadi Perdana Menteri ketika memerintah Madinah sekaligus menolak dakwaan Umno yang memisahkan politik daripada agama.

"Nabi Muhammad s.a.w. meninggal ribu-ribu tahun dulu, yang tinggal al-Quran. Al-Quran menjadi pegangan hidup manusia, bukan sahaja hidup Melayu.

“Melayu ke dia, Cina ke dia, Inggeris ke dia, asalkan dia manusia bukan kayu, batu, bukan haiwan wajib ke atas dia dari segi agama kena ikut Quran.

"Nabi Muhammad s.a.w. menjadi Perdana Menteri waktu sampai ke Madinah. Umno kata agama lain politik lain, cuba tanya Umno, siapa yang memegang kerajaan di Madinah jika tidak Nabi Muhamad s.a.w.," ujarnya kepada media selepas merasmikan Himpunan PAS Ganti Umno, PR Ganti BN di Pantai Pandak Chendering, dekat sini, semalam.

Justeru, kata beliau kerajaan yang mengambil bukan Islam dan kebangsaan sebagai dasar pemerintahan, bukan daripada ajaran Nabi Muhammad s.a.w.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut.

Tiada ulasan: