"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Liwat II: Saksi akui dua laporan perubatan Anwar


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dikejutkan dengan keterangan pegawai penyiasat dalam kes Fitnah II Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jude Blacious Pereira berhubung dua laporan perubatan Anwar.
Menurut Jude  Pereira, beliau membawa Anwar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 16 Julai 2008 dengan ditemani peguam, Sivarasa Rasiah dan  tiba di hospital itu pada kira-kira jam 8.30 malam.
Ketika di HKL, beliau berjumpa dengan Dr S Jeyaindran dan Dr Ee Boon Leong bagi menyerahkan borang polis untuk pemeriksaan perubatan terhadap Anwar. Pemeriksaan itu selesai jam 11.30 malam.
Beliau kemudian menerima surat dari doktor berkenaan berhubung permohonan peguam Sankara Nair, untuk mendapatkan salinan laporan pemeriksaan itu.
“Saya tanya DPP Hanafiah dan pada 24 Disember 2009, saya mengarahkan Sarjan Ahmad Abdullah untuk memberi laporan itu kepada Sankara Nair.
“Apa yang saya ada ialah salinan laporan. Laporan itu ditandatangni oleh Dr Jeyaindran sahaja dan bukan orang lain.
“Ia adalah salinan sama yang diberi kepada Sankara Nair,” kata Jude ketika memberikan keterangannya.
Ketika itu Timbalan Pendakwaraya (DPP) Noordin Hassan bertanya kepada Jude samada beliau menerima satu lagi laporan dengan dua tandatangan, yang turut mempunyai tandatangan Dr Ee Boon Leong.
“Ya, saya terima laporan dengan dua tandatangan yang diberi kepada saya oleh Dr Jeyaindran.
Ketika ditanya peguam Karpal Singh samada beliau tidak merasa terkejut atau aneh memperoleh laporan kedua yang mempunyai dua tandatangan itu, Jude mengakui ia adalah ganjil.
Namun ketika ditanya Karpal samada beliau menyiasat perkara itu, Jude berkata tidak.
Jude berkata beliau menerima laporan kedua daripada Dr Jeyaindran itu pada 21 Disember 2008.
Ketika ditanya Karpal samada beliau membekalkan laporan kedua itu kepada Sankara Nair, Jude turut menjawab tidak.
Karpal kemudian berkata samada Jude tahu laporan dengan satu tandatangan tidak boleh diterima di mahkamah.
Jude enggan memberi sebarang komen terhadap soalan tersebut yang turut dibantah pendakwaraya Mohd Yusof Zainal Abiden.
Jude dalam keterangannya juga berkata salinan laporan perubatan pertama yang diperolehnya ditandakan  sulit tetapi yang diberi kepada Sankara tidak bertanda.
Selain Jude, tiga lagi saksi balas turut dipanggil pendakwaraya iaitu Dr Jeyaindran, Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Zaininah Mohd Zain, Pembantu pegawai penyiasat polis, Sarjan Ahmad Abdullah.

Tiada ulasan: