"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno Kelantan berebut kerusi

M FAQIH
http://media.themalaysianinsider.com/images/uploads/mugshots/ibrahim-ali-sept29.jpg
Ahli Parlimen Pasir Mas, Dato’ Ibrahim Ali yang menang atas tiket PAS pada pilihan raya umum lalu kini heboh dikatakan ingin bertanding atas tiket BN pula.Jika desas-desus itu menjadi kenyataan, bekas pemimpin Semangat 46, Berjasa, Umno dan kini ‘Bebas mesra BN’ itu menjadi pemimpin paling kerap beralih parti.


Biarpun dicanangkan sebagai calon mesra BN, namun kehadirannya membuatkan barisan kepimpinan Umno yang ada sekarang tergugat.

“Bagi membolehkan Ibrahim bertanding menggunakan tiket BN di kerusi parlimen Pasir Mas, Ketua Bahagian, Dato’ Hanafi Mamat perlu dipindahkan ke Dun Tendong.

“Sedangkan pada pilihan raya umum lalu Hanafi bertanding di kerusi Dun Pengkalan Pasir. Ketika itu Ahmad Rosdi Mahamad menjadi calon BN berdepan dengan Ibrahim di kerusi parlimen,” kata satu sumber di sini.

Menurutnya Timbalan Ketua Bahagian, Che Johan Che Pa pula mengintai peluang di Dun Chetok. Namun, kerusi itu juga sudah diintai Ketua Pemuda, Najib Rusdan Abdul Rahman.

Medan perebutan di Chetok sedang hangat diperkatakan sekarang apabila Che Johan dan Najib Rusdan masingmasing tidak mahu mengalah.

Malah, pertelingkahan kedua-dua pemimpin Umno terbabit difahamkan tidak mampu diselesaikan lagi apabila seorang daripada mereka dikait dengan kes bakar kenderaan di Pasir Mas pertengahan September lalu.

Manakala Dun Pengkalan Pasir pula lebih terbuka kepada Naib Ketua Bahagian, Abdul Aziz Muhamad.

“Mengapa Hanafi yang pernah menang seketika di Pengkalan Pasir memilih Dun Tendong. Ini kerana baginya BN boleh menang di situ dengan lebih mudah memandangkan ada sisasisa pengaruh Ibrahim.

“Jadi laluan diberi Hanafi untuk membolehkan Ibrahim bertanding menggunakan tiket BN di kerusi parlimen,” kata seorang pemerhati politik dari Tendong.

Kelibat Ibrahim untuk terus mempertahankan kerusi parlimen jelas kelihatan pada Ramadan lalu apabila cuba memancing orang ramai dengan sumbangan raya.

Ramai melihat Ibrahim mahu mengulangi taktik 2008 meraih simpati PAS, kini mempamerkan sikap mesra BN, selepas keahlian Umnonya dilucut kerana bertanding tiket Bebas pada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir 2005.

Hujah mereka, Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), NGO fanatik Melayu hanya mengharapkan umpan wang ringgit bagi menarik simpati rakyat.

“Rakyat di Pasir Mas sudah lama kenal siapa Ibrahim, cuma beliau bernasib baik pada pilihan raya umum lalu kerana bertanding di atas lambang bulan, kalau parti lain usah harap untuk bergelar wakil rakyat,” kata Azmin Md Yusof, 45 dari Kubang Bemban.

Pilihan raya umum ke-13 akan menjawab siapa Ibrahim selepas ini. Porak peranda rumah tangga Umno juga sudah merebak ke tempat-tempat lain termasuk Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Rantau Panjang.

Di Gua Musang Ketua Bahagian Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah semakin tergugat apabila kumpulan Umno Baru diketuai Dato’ Bazlan Baharuddin difahamkan mulai berkerat rotan dengan bekas Presiden Semangat 46 itu.

Beliau kini dikatakan berganding erat dengan bekas Adun Galas, Mohd Saupi Deraman dan Ketua Wanita, Senator Wan Hazani Wan Mohd Nor. Krisis kepimpinan Umno Gua Musang sekarang memperlihatkan semula pertembungan pemimpin bekas Semangat 46 dan Umno Baru.

Kemenangan Bazlan sebagai Ketua Pemuda Umno Gua Musang pada pemilihan lalu dikatakan tidak diiktiraf Ku Li.

Di Tanah Merah pula Ketua Bahagian, Ikmal Hisham Abdul Aziz tidak mungkin mendapat laluan mudah di kerusi parlimen memandangkan bekas anggota parlimen penggal lalu, Dato’ Shaari Hassan dikatakan sudah keluar masuk kampung.

Shaari bersama beberapa penyokongnya digantung Lembaga Disiplin Umno. Ia dilihat ada kaitan dengan usaha Ikmal menghalang kehadirannya di Tanah Merah.

Shaari juga tidak keseorangan apabila abangnya, seorang korporat, Dato’ Ismail juga dikatakan berganding bahu bagi menentang Ikmal.

Di Kuala Krai pula, Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Dato’ Nik Sapeia Nik Yusof turut mengintai peluang kerusi parlimen memandangkan bekas calon BN di situ, Prof Dato’ Dr Che Musa Che Omar difahamkan tidak lagi berminat dengan Umno.

Pertembungan juga berlaku di Pasir Puteh apabila tindak tanduk Ketua Bahagian, Zawawi Othman tidak disenangi pemimpin Umno lain.

Di Rantau Panjang kudis lama di bahagian itu kembali bernanah semula apabila beberapa bekas anggota jawatankuasa bahagian disingkir ketua bahagian, Abdullah Mat Yassin.

Tiada ulasan: