"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zulkifli jahil, liwat isteri termasuk perkara syubhah

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 21 Okt: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib (gambar) menyifatkan dakwaan ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berhubung suami meliwat isteri melambangkan kejahilannya dalam hukum hakam yang berkaitan dengan hukum syarak.
Menurutnya, hukum syarak tidak boleh dibaca sepintas lalu tetapi memerlukan disiplin ilmu yang tinggi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan ahli parlimen tersebut di Dewan Rakyat semalam bahawa hukum hudud yang hendak dilaksanakan oleh PAS membenarkan suami meliwat isteri.

Selain itu, Zulkifli juga dilaporkan mendakwa bahawa umur 18 tahun yang ditetapkan dalam enakmen hudud bercanggah dengan Islam yang menetapkan had baligh ialah 15 tahun.

Ustaz Harun menjelaskan, liwat di antara suami isteri tidak termasuk di dalam hukum hudud tetapi bukan bererti perbuatan itu tidak salah.

Jelasnya lagi, perbuatan itu tetap salah, cuma tidak termasuk dalam hukum hudud dan dari sudut hukuman ia akan dikenakan hukum takzir.

“ Mengapa ianya dikenakan hukuman takzir dan bukannya hudud? Jawapannya ialah kerana berlaku syubhah di situ.

“Untuk makluman beliau, dalam perlaksanaan hudud, seperkara yang mesti diambil kira dalam perlaksanaan ialah perlaksanaan hukuman hudud mesti meraikan satu kaedah yang penting iaitu tudra’ul hudud bi syubhat iaitu hudud itu tidak boleh dilaksanakan sekiranya ada syubhah.

“Persoalannya di mana syubhah itu dalam kes ini? Syubhahnya ialah hubungan suami isteri itu sendiri atau dalam istilah feqahnya ialah syubhatul milk iaitu syubhah kerana isteri itu adalah milik suami tidak sepertimana dalam kes kesalahan hudud yang beliau nyatakan yang mana pasangan yang bersalah tersebut tidak mempunyai hubungan yang sah dari sudut syarak, ianya adalah berbeza dengan kesalahan liwat suami isteri,” tambah beliau lagi.

Beliau berkata, Zulkifli sebagai ahli parlimen tidak sepatutnya membaca sepintas lalu tanpa merujuk kepada para ulama kerana pengetahuan hukum syarak ada disiplinnya yang tersendiri, bukannya mengikut akal fikiran manusia yang lemah.

Beliau turut mengulas tentang dakwaan ahli parlimen itu bahawa had umur 18 tahun bercanggah dengan hukum syarak.

“Masalah berkenaan had baligh seseorang muslim itu, sebenarnya ianya adalah perkara khilafiah, ianya bukan suatu yang qat’ie.

“Ada ulamak dalam mazhab Syafie kata 15 tahun, barulah seseorang itu dianggap baligh, kalau dalam mazhab Hanafi, mereka kata 18 tahun barulah dikira sebagai mukallaf. Jadi dalam isu yang beliau bangkitkan ini, maka kita mengambil had umur yang paling tinggi supaya tidak berlaku masalah khilafiah. Sebagai contoh, jelasnya kalau diambil umur 15 tahun, nanti apabila perbicaraan diadakan, mungkin pihak peguam tertuduh akan mendakwa bahawa anak guaman bermazhab Hanafi, semata-mata untuk lari daripada hukuman.

“Jadi kita ambil pandangan 18 tahun supaya tidak berlaku at-tahayul atau helah dalam perbicaraan, itu hanya satu sebab mengapa kita pilih 18 tahun dan di sana masih ada sebab-sebab lain yang boleh kita rujuk kepada buku-buku feqah,” ujar beliau lagi.

Tiada ulasan: