"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Belanjawan: Anwar cabar Najib debat

Harakahdaily
PETALING JAYA, 17 Okt: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempelawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berdebat berkaitan kedudukan ekonomi negara dan persoalan berkaitan belanjawan.

Katanya, adalah suatu kritikan yang dangkal oleh Najib menggelar Belanjawan Pakatan Rakyat 2012: Kesejahteraan Untuk Semua sebagai ‘belanjawan Republikan aliran kanan yang gagal memahami kehendak rakyat’.

"Ini membuktikan Datuk Seri Najib mengelak dari isu asas yang menjangkiti pentadbiran beliau seumpama tadbir urus yang goyah, rasuah berleluasa dan dasar Barisan Nasional yang memperkaya keluarga dan kroni,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Justeru, beliau mempelawa Najib berdebat yang seharusnya disiarkan secara langsung dan ditayangkan melalui televisyen ke seluruh negara.

“Semenjak Pakatan Rakyat melancarkan Buku Jingga pada tahun 2010, saya sudahpun mempelawa Datuk Seri Najib untuk berdebat.

“Wacana umum antara Pakatan Rakyat dan pentadbiran beliau pastinya memberi manfaat tidak terhingga kepada rakyat terutamanya ketika ekonomi negara memasuki wilayah yang tidak dikenali serta kegagalan pentadbiran beliau untuk melonjak ekonomi Malaysia,” katanya lagi.

Sewajarnya, kata beliau Najib prihatin terhadap kebimbangan meluas berkaitan kenaikan kadar hutang negara, bukannya mengejek kekhuatiran tersebut.

Katanya, kadar hutang negara ditetapkan oleh pelbagai peruntukan undang-undang. Antara peruntukan tersebut adalah Akta 637 Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 ( disemak 2004) dan Akta 275 Akta Pelaburan Kerajaan 1983, yang menetapkan gabungan pinjaman tempatan tidak boleh melewati kadar 55% dari KDNK Negara, manakala Akta 403 Akta Pinjaman Luar Negeri1963( disemak 1989) menghadkan pinjaman luar negeri pada RM 35 ribu juta pada sesuatu masa.

Beliau yang juga ahli parlimen Permatang Pauh menambah, selain dari kadar yang ditetapkan oleh peruntukan undang-undang, Perbendaharaan juga mengenakan peraturan ketat untuk diikuti demi mengukuhkan displin fiskal.

“Amalan ini malah ditetapkan sebelum dari saya menjadi Menteri Kewangan lagi,” katanya lagi.

Sebagai contoh, jelasnya perbelanjaan pengurusan untuk tahun terbabit tidak boleh melebihi unjuran pendapatan, begitu juga pinjaman yang dibuat kerajaan hanya untuk dibelanjakan demi pembangunan.

Oleh itu, ujar beliau wacana umum berkaitan kadar hutang negara kini menjadi persoalan undang-undang dan berkepentingan nasional, apatah lagi pentadbiran Najib kini hampir melanggari kadar hutang negara yang dihadkan undang-undang serta cuba untuk menyembunyikannya dari pengetahuan umum.

Beliau menambah, laporan terkini Bank Negara Malaysia (dikemaskini 14 Oktober 2011) menunjukkan hutang negara kini berada pada RM437 ribu juta pada suatu tempoh yang berakhir pada 30 Jun 2011.

Jumlah tersebut, jelasnya merupakan pecahan dari RM421 ribu juta hutang tempatan dan RM16 ribu juta hutang luar negara.

Ini, katanya bermaksud negara kini sudah berada pada 51% dari nisbah hutang tempatan kepada KDNK negara sepertimana yang ditetapkan oleh Akta 637 dan Akta 275, yang hanya membenarkan tambahan hutang sebanyak RM33 ribu juta.

Oleh itu, tegasnya berdasarkan fakta ini adalah jelas kerajaan tidak mempunyai dana secukupnya untuk membiayai perbelanjaan selebihnya bagi tahun 2011 dan defisit RM46 ribu juta untuk dibiayai oleh hutang lebihan sebagaimana yang diumumkan dalam Belanjawan 2012.

Menurutnya, rakyat sedar unjuran pertumbuhan sebanyak 5%-6% yang diumumkan Najib dalam belanjawannya tidak tepat dan berkemungkinan besar pentadbirannya terpaksa bergantung kepada hutang demi membiayai janji janji pilihanrayanya.

“Oleh itu, debat serta wacana awam berkaitan ekonomi merupakan sesuatu yang mendesak terutamanya ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mengumumkan data ekonomi yang tidak meyakinkan dan sagu hati pilihan raya yang pastinya tidak mampu melonjak ekonomi negara,” ujarnya.

“Akan tetapi sekiranya Najib merasakan agenda ekonomi beliau mampu memberi manfaat kepada rakyat, adalah mustahak agar beliau memperincikannya kepada umum termasuklah menyatakan alasan mengapa beliau gagal melaksanakan perubahan struktur ekonomi secara menyeluruh termasuklah melaksanakan gaji minima sejagat kepada seluruh pekerja dan merungkai monopoli di sektor barangan serta perkhidmatan awam,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: