"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guna wang zakat sekat hukum Islam

PETALING JAYA: PKR hari ini menyifatkan kenyataan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali bahawa wang zakat boleh digunakan untuk mempertahankan kedaulatan Islam sebagai menyimpang jauh dari kebenaran.
“Apakah orang yang menggunakan kedudukan menghalang seorang yang difitnah membawa kes ke mahkamah syariah dianggap mempertahankan kedaulatan institusi Islam?,” soal setiausaha agung parti itu, Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan media hari ini.

Laporan Audit Negara 2010 mengesahkan sebanyak RM63,650 wang zakat telah dikeluarkan dari akaun Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membayar kos guaman.

Ini berikutan tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan tuntutan qazaf (tuduhan terhadap seseorang melakukan zina tanpa bukti empat saksi) terhadap Che Mat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain.

Saifuddin menyoal lagi, “adakah orang yang menggunakan kedudukan mereka menyekat pendakwa syarie meneruskan dakwaan qazaf ke atas pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan yang sewenang-wenang membuat tuduhan tanpa menampilkan saksi boleh dianggap mempertahankan kedaulatan institusi Islam?

Sebenarnya kata Saifuddin mereka bertiga cuba berlindung dengan alasan bahawa wang zakat itu kemudian telah selamat diganti dengan satu peruntukan lain namun isu ini tidak terhenti di situ. Menteri berkenaan masih terus dengan pendirian bahawa wang zakat tidak digunakan.

“Apakah jika mereka menggunakan kedudukan untuk berbuat demikian maka mereka dibolehkan menggunakan wang zakat untuk membayar khidmat guaman mereka?,” tanya beliau.

Saifuddin berkata adalah jelas mereka bukan mendaulatkan institusi Islam bahkan merekalah yang menghalang hukum Islam dari dilaksana.

Mempertahan diri

“Kalau begitu apa alasan mereka untuk menggunapakai wang zakat untuk tujuan mempertahankan diri apabila disaman dek kerana mereka sendiri yang menyekat kes qazaf ini dibawa ke muka pengadilan oleh Anwar?,” soal Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang.

Menurutnya, Anwar memfailkan saman tersebut kerana mereka bertiga dipercayai mempengaruhi kes mendakwa Saiful atas tuduhan qazaf tidak dibawa ke muka pengadilan.

“Biarpun aduan tentang kes ini telah dibuat oleh Anwar seawal 2008, selesai disiasat oleh Jawi, kertas siasatan telah diserahkan kepada bahagian pendakwaan namun hasilnya ialah kes tersebut didiamkan begitu sahaja.

“Adalah menjadi hak untuk Anwar membela diri. Anwar membuat aduan kepada pihak berkuasa yakni Jawi, beliau yang kemudian dipanggil membantu siasatan memberikan sepenuh kerjasama.

“Saiful turut disiasat oleh Jawi. Apakala siasatan selesai gerangan apa yang tidak membolehkan pendakwaan dibuat ke atas Saiful yang secara terbuka membuat tuduhan terhadap Anwar yang kononnya telah meliwat beliau?,” soal beliau.

Ujar beliau, “inilah yang menjadi asas saman Anwar terhadap mereka bertiga. Walaupun Anwar kalah dalam kes tersebut dan rayuan tentangnya akan didengar oleh mahkamah pada 30 Januari ini.

“Cuma episod ini membongkar satu lagi isu yakni penyalahgunaan wang zakat oleh mereka yang disaman,” jelas beliau.

Semalam, Che Mat berkata MAIWP boleh menggunakan wang zakat untuk mempertahankan kedaulatan institusi Islam sebagai merujuk kepada penyalahgunaan wang zakat sebanyak RM63,650 untuk membayar yuran peguam dalam kes qazaf ini.

Tiada ulasan: