"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa ulama berbeza pendapat? - Dato' Dr Haron Din

Prof. Dato' Dr Haron Din
Ada yang keliru melihat pelbagai fatwa dan pandangan ulama diberikan dalam satu-satu isu, sama ada isu yang melibatkan cabang akidah, lebih-lebih lagi dalam isu hukum ibadah, muamalat dan sebagainya. Lebih mendukacitakan terdapat yang begitu 'tidak faham' atau sengaja 'buat-buat tidak faham' sehingga ke peringkat menuduh para ulama mencipta hukum halal dan haram menurut kehendak mereka sendiri, malah menjustifikasikan tuduhan mereka dengan mengatakan para ulama mencabuli hak Allah yang hanya Dia boleh menetapkan hukum.

Kecetekan ilmu khususnya berkenaan Fiqh dan Usul Fiqh serta peranan dan tugas para ilmuan Islam adalah antara punca tuduhan liar sedemikian berlaku.

Kejahilan ini menyebabkan ada sebahagian mereka mencerca ilmuan Islam sebagai "ingin jadi tuhan" kerana mengharamkan sesuatu, khususnva apabila bertentangan dengan kesukaan mereka. Memang benar, dalam Islam seorang manusia tidak berhak untuk mengharam dan menghalalkan sesuatu, hanya Allah dan Rasul-Nya yang menentukan. Hakikatnya para ilmuwan Islam sama sekali tidak mengharam dan menghalalkan sesuatu berdasarkan selera mereka, tetapi mereka menuruti garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasulnya, melalui kefahaman terhadap ayat-ayat al-Quran, Hadis Nabi dan segala jenis tafsirnya berdasarkan konteks bahasa, sebab turun, konteks masa dan setempat dan lain-Iain.

Sebahagian kumpulan manusia yang keliru, suka mencela para ilmuwan Islam disebabkan perbezaan pandangan mereka dalam sesuatu isu. Mereka dituduh tidak konsisten, mengelirukan dan pelbagai lagi. Lebih buruk, apabila orang awam ini merasakan pandangan mereka yang tidak didasari ilmu itu disangka lebih benar lalu mula mencerca ilmuwan Islam yang tidak disukai mereka atau kesemuanya sekaligus.

Sebenarnya perbezaan ijtihad dalam hal ehwal hukum ini telah wujud sebelum imam-imam mazhab empat lagi, ia telah pun bermula sejak zaman Sahabat bersama dengan Baginda SAW. Begitupun perbezaaan ini dan ia bukanlah sesuatu yang negatif sekiranya dapat difahami asasnya, ia hanya akan menjadi negatif apabila orang ramai tidak memahaminya, taksub kepada sesuatu pandangan serta tidak pandai rnengendalikannya. Di ruangan terhad ini beberapa contoh ingin diketengahkan sebab-sebab perbezaan itu berlaku, antaranya:

Sebab Pertama : Arahan Nabi Yang Berbeza Untuk Individu Tertentu

Sebagai contoh, dalam isu fiqh ibadah. Imam Muslim meriwayatkan terdapat sahabat yang cacat pengelihatan mengatakan, “Aku tidak mempunyai pemandu untuk ke masjid untuk solat berjemaah, maka berilah aku keizinan untuk menunaikannya di rumah sahaja.” Lalu Baginda SAW memberikan keizinan kepadanya. Namun, apabila Baginda mengetahui orang tersebut menetap berhampiran masjid sehingga boleh mendengar laungan azan, Baginda SAW menarik semula keizinannya. (rujuk Sohih Muslim, No:1486) Walaupun begitu, Nabi pernah memberi keizinan kepada saorang sahabat yang lain bernama 'Itban bin Malik, tanpa ditarik semula keizinan. (rujuk Sohih Muslim, No:14-96).

Kedua-dua arahan mempunyai latar belakang kisah yang tersendiri, Maka para ulama mempunyai pendirian berbeza dalam menanggapi kedua peristiwa ini sehingga memberi kesan kepada ijtihad dan cara mereka meletakkan hukum. Lalu perbezaan pendapat tersebar. Begitu juga halnya Nabi pernah memberikan izin kepada Abu Bakar as-Siddiq untuk mendermakan keseluruhan hartanya, sedang Nabi tidak mengizinkan sahabat yang lain untuk melakukan hal yang sama, (rujuk Sunan Abi Daud, No:1678 dan No:3319). Kedua-dua kes contoh ini bukan merupakan kes terpencil malah ia berlaku dalam kekerapan yang banyak.

Ia jelas menunjukkan Nabi memberikan arahan dan keputusan berbeza kepada orang yang berbeza. Kebiasaannya mempunyai hubung kait dengan latar belakang individu yang bertanya. Atas sebab ini, muncul ulama yang memberikan fatwa berbeza, disebabkan perbezaaan dalam mengambil dalil dan memahami konteksnya. Jika ingin difahami, sebahagian ulama berpendapat bahawa Nabi membenarkan Abu Bakar as-Siddiq RA menyedekahkan keseluruhan hartanya kerana Baginda mempunyai keyakinan terhadap keimanan Abu Bakar RA, di samping yakin Abu Bakar mampu untuk terus istiqamah dengan Islam, tanpa merneinta-minta bantuan daripada Baginda Rasul, walau dalam keadaan seluruh hartanya telah disedekah. Namun keyakinan yang sama tidak bagi individu yang lain menyebabkan Nabi melarangnya.

Sama keadaannya dalam kes sahabat bernama Hamza Ibn 'Amr al-Aslami, beliau sudah terkenal dengan amalan berpuasa banyak. Tatkala beliau ingin bermusafir, beliau bertanya kepada Nabi, Baginda menjawab, “Kamu bebas sama ada untuk berpuasa atau berbuka” (rujuk Sohih Bukhari, No:1943) Sedangkan dalam hadis lain, Nabi menyebut, “Tiada sebarang kebaikan untuk mengekalkan puasa tatkala dalam perjalanan jauh” (rujuk Sohih Muslim, No:2612). Kita dapat melihat perbezaan fatwa dan ijtihad pasti wujud disebabkan dua arahan Nabi yang berbeza dalam dua situasi yang juga berbeza.

Tentunya, kumpulan sahabat yang mengetahui dan mendengar jawapan Nabi kepada Hamza berbeza dengan kumpulan yang mendengar Baginda ketika melarang. Hasilnya, masing-masing akan membawa dan menyebarkan apa yang didengarinya kepada orang lain dan berterusan. Akhirnya, akan dapat dilihat dua hukum dalam satu isu. Atas dasar itu, terzahir peranan, keperluan kepada kebijaksanaan dan kajian mendalam oleh para ulama dan ahli fiqh, iaitu bagi menentukan hukum yang lebih tepat bagi situasi yang berada di hadapannya, di waktunya dan negaranya. Mereka akan menentukan sumber rujukan hadis dan latar di sebalik hadis terbabit, bagi mengeluarkan jawapan hukum yang paling sesuai bagi keadaannya.

Sebab Kedua : Arahan Khusus Dilihat Sebagai Arahan Umum

Terdapat juga ketikanya, Nabi SAW memberikan arahan khusus kepada individu tertentu, namun ia didengari oleh sahabat yang lain lalu menganggapnya sebagai arahan umum buat semua lalu menyebarkannya, sebagai contoh: Ibn Umar meriwayatkan bahawa Nabi bersabda, “Mereka yang mati akan diazab kerana ratapan si hidup.” (rujuk Sohih Bukhari, No:1287)

Isteri Baginda Nabi SAW, 'Aisyah RA menolak kandungan hadis ini dengan berpendapat ia adalah kes khusus untuk seorang wanita Yahudi sahaja, (rujuk Sohih Bukhari, No:1289). 'Aisyah juga membawakan ayat al-Quran yang jelas menolak beban dosa si hidup ditanggung oleh si mati, ini adalah satu kes yang jelas bagaimana arahan Nabi boleh dianggap oleh sekelompok ulama sebagai khusus, manakala yang lain mengambilnya sebagai umum untuk semua.

Selain itu juga berlaku kes seorang sahabat Nabi yang miskin bernama Sulaykh al-Ghartafani, memasuki masjid ketika khutbah sedang berjalan, Nabi SAW mengarahkannya untuk menunaikan solat tahiyyatul masjid dua rakaat terlebih dahulu. (rujuk sohih Muslim, No:2023). Terdapat ulama yang memahami arahan Nabi itu sebenarnya adalah khusus untuk sahabat miskin ini sahaja, ia adalah kerana Nabi inginkan para sahabat yang lain dapat melihat tahap kemiskinan sahabat tersebut (sewaktu beliau solat), seterusnya tergerak untuk membantunya kelak.

Atas kayakinan ini, mazhab Hanafi melarang sesiapa solat tahiyyatul masjid ketika khatib sedang berkhutbah, fatwa tersebut berbeza dengan beberapa mazhab lain yang menggangap kebenaran tersebut adalah untuk semua umat Islam dan umum bukan khas untuk seorang sahaja.

Para sahabat Nabi yang berada di masjid ketika itu juga mempunyai perspektif berbeza terhadap arahan Nabi, lalu ada yang meriwayatkannya tanpa dikhususkan kepada apa-apa kes tertentu manakala ada yang memahami sebaliknya. Hasilnya, perbezaan pendapat dan ijtihad bertaku, sama ada dalam kalangan sahabat sendiri dan tentunya di zaman selepas itu. Ibn Qutaybah di dalam kitabnya Ta’wil Mukhtalaf al-Hadis pernah mambawakan kata-kata sahabat Imran al-Husayn ertinya, “Demi Allah, aku sedar aku boleh meriwayatkan cukup banyak hadis jika aku ingin, namun amalan yang dilakukan oleh kebanyakan sahabat menghalangku dari melakukannya. Sepengetahuanku terdapat kekurangan (kurang tepat) dalam sebahagian penyampaian mereka.”

Atas dasar ini, Khalifah Umar al-Khattab semasa pemerintahannya, melarang para sahabat meriwayatkan hadis dalam kadar yang terlalu banyak kerana dibimbangi ketidakfahaman mereka serta latar belakang mereka selaku para sahabat yang agak jauh dari Nabi serta kurang pakar dalam bab hukum, lalu boleh menyebabkan kefahaman mereka tersasar daripada konteks sebenar lalu menambah kusut dan keliru.

Atas sebab itu, kita dapat melihat hanya beberapa orang sahabat sahaja yang banyak meriwayatkan hadis seperti Abu Hurairah, ‘Aisyah sendiri dan beberapa yang lain, itu pun sekadar sukar untuk rnelebihi 5,000 hadis, (rujuk Tazkiratul Huffadz, Imam Shamsuddin Az Zahabi, 1/7)

Sebab Ketiga : Perbezaan Kefahaman dan Persepsi

Agak kerap juga berlaku, sesuatu ibadah Nabi dilihat oleh ramai sahabat di waktu-waktu yang berlainan, Keadaan ini menghasilkan kefahaman yang berbeza-beza terhadap apa yang perlu dilakukan. Sebagai contoh, ketika Nabi SAW menunaikan Haji, sebahagian sahabat mengatakan Nabi melaksanakan Haji Ifrad kerana beliau mendengar Nabi menyebut, “Labbayka bi hajjatin...” ertinya (Aku mempersembahkan diriku untuk-Mu, Wahai Allah untuk melaksanakan haji), (rujuk sunan an Nasa’ie dan al Bayhaqi, No : 8830)

Ramai ahli hadis mengatakan jalur periwayatan hadis ini adalah sohih, namun begitu sebahagian sahabat lain pula meriwayatkan bahawa Nabi melaksanakan Haji Qiran (rujuk sohih Bukhari, No:1563; Muslim, No : 2995) Kedua-dua periwayatan ini kelihatan bertembung kerana kedua-dua jenis Haji adalah berlainan antara satu sama lain.

Masalah membesar apabila haji Qiran juga boleh dimulakan dengan lafaz yang sama. Ketika itulah wujudnya peranan ulama Mujtahid sama ada daripada kalangan sahabat Nabi atau selepasnya. Mereka bertanggungjawab untuk mengharmonikan nas-nas yang kelihatan bertembung ini dan menjelaskan kekeliruan.

Sa'id Ibn Jubayr seorang ulama besar dalam kalangan tabien, pernah menegaskan kekeliruan seperti ini kerap berlaku, sebagai contoh, ketika Nabi berada di Miqat di zul khulayfa untuk memulakan ihram, Baginda menunaikan solat sunat dua rakaat di dalam masjid dan memulakan ihramnya. Maka sebahagian sahabat yang dapat melihat perlakuan Nabi itu, kemudiannya ketika Nabi menaiki untanya, dan sewaktu unta ingin bergerak Nabi menyebut “labbayk…” , ketika itu sudah pasti ramai yang berada di sekeliling Nabi dan mendengar Baginda melafazkan kalimah itu.

Disebabkan ramainya sahabat di sekeliling Baginda, maka tidak semua dapat mendengar dengan jelas, kemudian, di ketika Nabi berada di puncak Bayda, sekali lagi Baginda melafazkan “Labbayk…” secara kuat. Semua sahabat yang mendengar pada setiap kali Nabi mengucapkannya akan mempunyai persepsi yang berbeza dengan yang lain, kerana ada yang mendengar buat pertama kali dan ada yang mendengar buat kali ketiga dan kedua. Keadaan itu adakalanya boleh menyebabkan perbezaan dalam meyimpulkan hukum dan sunnah.

Abdullah ibn Abbas adalah antara yang mendapat gambaran paling jelas tentang tata cara Nabi menunaikan haji, beliau dikira sebagai salah seorang ulama mujtahid dalam kalangan sahabat yang perlu dirujuk bagi mendapatkan penjelasan dan panduan yang tepat. Selepas zaman sahabat, para ulama mujtahid sentiasa mempunyai maklumat yang lebih jelas, namun begitu, ia tidak dapat mengelak daripada perbezaan persepsi yang akhirnya membawa kepada kesimpulan hukum yang berbeza.

Sebab Keempat : Satu Perkataan Yang Mempunyai Pelbagai Maksud

Sudah menjadi kebiasaan dalam apa jua bahasa, satu perkataan boleh sahaja mempunyai dua tiga atau lebih maksud, sama ada perbezaan itu berdasarkan bahasa rasmi dan persuratan ataupun terpengaruh oleh dialek setempat. Dalam hal ini, perkataan wudhu adalah jelas merupakan perbuatan ibadah khusus untuk menunaikan solat dan memegang al-Quran. Namun begitu dari sudut bahasanya, wudhu juga membawa maksud membersih dan membasuh tangan dan boleh membawa maksud wudhu pada istilah ibadah.

Imam at-Tirmidzi menyebut dalam kitab beliau "Shama'il Muhammadiah", seorang sahabat bernama Salman suatu hari bertanya kepada Nabi, katanya menurut kitab Taurat, wudhu selepas makan boleh membawa berkat, lalu beliau meminta ulasan daripada Baginda Nabi, Nabi kemudiannya menjawab, “Wudhu sebelum dan juga selepas makan adalah sumber keberkatan dalam makanan tersebut”. (rujuk Shamail, No:186)

Dalam hadis yang disebutkan oleh Salman ini, majoriti ulama berpendapat lafaz wudhu yang digunakan merujuk kepada erti asalnya iaitu basuhan tangan dan bukan wudhu pada istilah Fiqh (iaitu basuhan beserta niat bermula dari wajah dan seterusnya). Demikian juga sebuah dalam situasi yang direkodkan oleh Bazzar, bahawa sahabat Nabi Muadz RA ditanya, “Adakah kamu mengambil wudhu selepas menikmati makanan yang dibakar oleh api? Beliau menjawab, “Kami hanya membasuh tangan dan mulut sahaja”. Namun ia dilafazkan sebagai wudhu.

Keadaan ini menyebabkan para ulama mazhab boleh berbeza ijtihad dalam menentukan sama ada perlu berwudhu dalam bentuk ibadah khusus setiap kali selepas menikmati makanan yang dibakar di atas api atau hanya perlu membasuh mulut dan tangan? Majoriti berpegang kepada erti wudhu secara bahasa iaitu basuhan sahaja, namun terdapat ulama yang berpandangan selainnya.

Bersandarkan kepada sebab-sebab yang dinyatakan di atas dan banyak lagi sebab yang lain, hukum di dalam pelbagai bab dan bidang hukum juga turut terkesan, lalu muncul pandangan dan ijtihad yang berbeza dari seorang alim kepada yang lain. Orang ramai tidak perlu merasa pelik dan susah hati dengannya. Yang perlu, serahkan urusan kepada mereka yang pakar dan ahli di dalam bidang mereka. Jika orang awam sudah mula berfatwa bersandarkan satu dua hadis atau ayat, dan kemudian merasa diri lebih benar dari kefahaman mendalam dan kajian khusus oleh para ilmuwan, itulah tanda kehancuran akan mendatang.

Tiada ulasan: