FMT Reporters
PETALING JAYA: Myanmar meminta Malaysia supaya jangan masuk campur hal dalaman mereka susulan laporan yang mengatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan menghadiri tunjuk perasaan besar-besaran membantah keganasan di wilayah Rakhine.
Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Presiden U Zaw Htay meminta Malaysia supaya menghormati kedaulatan negara mereka dan prinsip tidak mencampuri hal dalaman negara Asean.
“Kami patuh dan menghormati prinsip itu. Kami berharap kerajaan Malaysia juga mematuhinya,” kata Zaw Htay kepada Myanmar Times.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mengumumkan suatu tunjuk perasaan yang akan dihadiri pimpinan negara, termasuk perdana menteri, akan diadakan pada Ahad bagi menyuarakan kebimbangan akan keganasan ke atas Rohingya di Myanmar.
Zahid berkata Malaysia tidak akan berpeluk tubuh sementara ribuan Rohingya yang tidak bersalah dibunuh dalam pembersihan etnik yang dibenarkan pemerintah mereka.
Beliau berkata kerajaan Malaysia tidak berniat untuk mencampuri hal domestik Myanmar, tetapi kekejaman oleh negara anggota Asean tidak boleh dibiarkan, terutamanya apabila negara lain, Malaysia khususnya, terpaksa menanggung beban menjaga Rohingya yang mencari perlindungan.
Sejak Oktober terdapat 135,475 pelarian Myanmar di Malaysia merangkumi Rohingya, Chin dan etnik lain.
Tunjuk perasaan itu menyusuli pembatalan saat-saat akhir 2 perlawanan bola sepak menentang Myanmar pada 30 November lalu, yang dijadulkan berlangsung pada 9 dan 12 Disember ini, ekoran krisis di Rakhine.
Pada 25 November, kementerian luar negeri mengecam keganasan yang berlaku dan menyeru pemerintah Myanmar supaya mengambil langkah menangani pembersihan etnik di utara wilayah Rakhine yang didakwa itu.
Minggu lepas, kira-kira 1,000 Rohingya berhimpun menunjuk perasaan di luar kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur.
Zaw Htay menuduh tunjuk perasaan itu merupakan keputusan politik yang diatur untuk menarik sokongan rakyat Malaysia dan tidak ada kaitan dengan Myanmar.
“Kami akan memanggil duta Malaysia berkenaan tunjuk perasaan itu dan untuk mengetahui sama ada perdana menteri Malaysia akan menghadirinya. Jika ya, kami akan pantau acara itu,” katanya.
Zaw Htay berkata tunjuk perasaan di Malaysia menyebabkan pemerintah Myanmar berasa bimbang akan keselamatan warganya yang berada di negara ini.
“Warga Myanmar perlu berhati-hati dan diminta jangan bergerak tanpa ditemani.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan