Amir Hamzah Nordin

Keadaan kenderaan yang terbabas ke dalam gaung di Jalan Utama Kampung Berchang, semalam. Foto ihsan polis
LIPIS: Seorang wanita warga emas maut, manakala dua anaknya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Jalan Utama Kampung Berchang, di sini, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.56 malam.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 26 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan kami mendapati sebuah kereta terhumban ke dalam gaung. Mangsa berusia 66 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
“Dua lagi mangsa mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, siasatan awal mendapati kereta itu dipandu anak perempuan mangsa berusia 29 tahun, manakala abangnya berusia 31 tahun turut berada dalam kenderaan berkenaan.
Katanya, kereta itu dalam perjalanan dari Tumpat, Kelantan menuju Kuala Lumpur sebelum pemandu dipercayai hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian.
“Kereta itu terbabas melanggar tiang elektrik sebelum terjunam ke dalam gaung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemandu mengalami kecederaan ringan, manakala penumpang belakang berusia 31 tahun mengalami patah pinggul.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan