"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tular isu sertai ritual bertentangan syarak, Jais akhirnya tahan Aliff Daniel dan ibunya

Malaysiakini




Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan seorang lelaki, yang dikenali sebagai Aliff Daniel, kerana disyaki terlibat dalam ritual bukan Islam sehingga mencetuskan kecaman di media sosial.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Jais, Shahzihan Ahmad berkata Aliff dan ibunya ditahan pada waktu tengah hari di Kuala Lumpur oleh anggota Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) selepas waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah Shah Alam.

Kedua-dua mereka disiasat di bawah Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. Shahzihan menjelaskan Jais mula menjalankan siasatan selepas video mengenai kesalahan berkenaan tular.

Seksyen 4 membabitkan perbuatan memuja atau melakukan tindakan pemujaan yang bertentangan dengan hukum syarak, manakala Seksyen 10 berkaitan tindakan menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.

Jais juga dijangka memanggil sekurang-kurangnya 14 individu lain bagi membantu siasatan.

Mohd Shahzihan berkata Jais memandang serius perkara itu dan akan memastikan tindakan diambil berdasarkan bidang kuasa, undang-undang dan fakta kes.

“Kami berharap semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa bagi melengkapkan siasatan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan,” katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, ikedua-dua mereka yang berusia 21 dan 52 tahun itu dibawa ke Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan Jais, Bangunan Sultan Idris Shah, di Shah Alam pada 3.50 petang bagi membantu siasatan dengan menaiki van penguat kuasa jabatan itu.

Visual penahanan Aliff yang dimuat naik dalam talian menunjukkan dia gari sambil memakai serban dan berjubah hitam.

Sebelum ini, gambar yang tular memaparkan Aliff, yang dipercayai beragama Islam, menyertai pelbagai ritual bukan Islam termasuk mencucuk mukanya dengan objek berbentuk trisula semasa sambutan Thaipusam di Batu Caves.

Beberapa klip video lain menunjukkan Aliff, yang mendakwa dirinya sebagai penyembuh kerohanian, dipercayai menyertai upacara "pembersihan" di satu lokasi di Bali, Indonesia.

Merujuk kepada rakaman video dan gambar berkenaan, gerakan Islam sebelum ini mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan kerana perbuatan itu menyentuh isu akidah serta berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Dalam satu kenyataan, gabungan pertubuhan Islam Malaysia menegaskan pemeliharaan akidah ialah perkara asas yang perlu diberi perhatian sewajarnya.

Bagaimanapun, mereka menyatakan kesahihan bahan yang ditularkan, konteks sebenar kejadian serta status agama individu terbabit perlu disahkan terlebih dahulu sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

“Sekiranya dakwaan itu terbukti benar dan melibat tindakan yang bertentangan dengan prinsip akidah Islam, tindakan sewajarnya perlu dipertimbangkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Penerangan berasaskan fakta daripada pihak berkuasa amat penting bagi meredakan kekeliruan serta mengekalkan keyakinan awam terhadap institusi agama,” menurut kenyataan itu lagi.

Gabungan berkenaan turut dianggotai Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan juga memberitahu pihak berkuasa sedang mengambil tindakan berhubung penyebaran beberapa rakaman video berkaitan insiden tersebut.

Tiada ulasan: