Al-Abror Mohd Yusuf
"Tak pernah lagi berlaku dalam sejarah," kata seorang pengguna Facebook pada malam bermulanya Ramadan bulan lalu, "tak ada pengumuman tarikh berpuasa."
Sudah tentu kenyataan itu sesat lagi menyesatkan, tetapi hantaran tersebut sempat terpapar agak lama di media sosial tersebut sebelum entah berapa ramai orang menegur dan membetulkan keadaan.
Sesetengahnya memberi amaran bahawa tindakan tersebut sebenarnya mengundang bahaya. Ketika bunyi kucing berjalan di atas bumbung rumah pun sudah cukup membuat dada orang yang perasan hebat berdebar-debar, bayangkan kalau pintu rumah diketuk polis pada jam 3 pagi.
Kenyataan itu dibuat hanya kerana dia tidak menonton TV atau mendengar radio pada saat penyimpan mohor besar raja-raja membuat pengumuman seperti malam-malam menjelang Ramadan sejak berpuluh-puluh tahun silam.
Barangkali juga dia tidak endah akan apa-apa berita semasa kecuali perkhabaran yang diinginkannya saja, iaitulah kisah-kisah kehebatan parti yang disokongnya, serta kecacatan dan keburukan parti yang diarah pemimpinnya supaya dibenci serta dilawan.
Mujurnya ialah, hantaran tersebut hanya dibuat oleh individu yang tidak dikenali ramai kecuali dalam lingkungan saudara-mara, karib kerabat dan kawan-kawan setempat.
Tetapi menyebarkan kepalsuan - sama ada secara sengaja atau sebaliknya - bukanlah kejadian terpencil.
Jika tidak, mana mungkin pada 2023 ada ahli parlimen mengemukakan soalan kepada kerajaan mengenai suatu situasi yang sebenarnya sudah terbukti palsu, tidak benar dan suatu pembohongan seawal 2016.
Sudah pernah mengaku salah
Ketika Ismail Abd Muttalib bertanya tentang peraturan yang kononnya melarang azan dikumandangkan seperti biasa di Pulau Pinang baru-baru ini, Yang Dipertua PAS Padang Serai sudah mengakui keterlanjurannya membuat dakwaan salah lebih enam tahun lalu.
Sebelum Ismail muncul dengan soalan itu, seorang tokoh yang disegani sesetengah orang pula mendakwa ada masjid di Pulau Pinang bertukar menjadi tokong.
Ia bukanlah dakwaan luar biasa dan karut yang pertama dilafazkannya, malah entah kali yang keberapa.
Memang pembohongan itu dibetulkan dengan permohonan maaf individu terbabit selepas dia tidak mampu mempertahankan dakwaan sendiri, tetapi dalam situasi sesetengah penduduk negara ini lebih cepat percaya cerita dongeng dari mulut penceramah berbanding fakta sebenar, tidak banyak yang dapat diharapkan untuk keadaan bertukar menjadi betul.
Dan itu - yakni bersilat menepis khabar-khabar palsu lagi bohong - mungkin merupakan separuh daripada masalah yang sedang membarah dalam negara ini.
Berbohong atau menyebarkan pembohongan sudah menjadi aktiviti yang ditekuni saban waktu untuk mereka mengutip 'saham pahala' khususnya semasa bulan puasa ini.
Tidak dapat dipastikan mana yang lebih besar, sama ada sikap kita yang kemaruk kepada berita-berita palsu yang kita suka, atau rasuah yang berada di kedudukan tertinggi masalah negara.
Dibuai naratif ciptaan sendiri
Pada ketika yang sama sesetengah pemimpin pula lebih berahi bergaduh sesama sendiri berbanding berpakat dan berbaik-baik memikirkan masalah rakyat.
Ketika rasa meluat dan menyampah orang ramai kepada orang politik masih belum reda, para pemimpin terbabit tanpa rasa segan silu menelanjangkan kurap di badan masing-masing kepada umum.
Maka bermadah dan berselokalah mereka sesedap rasa tanpa mahu tahu apa saja kebimbangan rakyat yang belum lagi boleh menarik nafas lega akibat percaturan politik sejak bertahun-tahun lalu.
Di satu pihak orang politik - pedulilah apa pun taraf atau jawatan mereka, daripada setinggi-tinggi tempat hinggalah serendah-rendah kedudukan - terus leka bermain dengan fitnah, pembohongan dan penipuan.
Mereka terbuai dengan naratif yang dicipta sendiri untuk menjatuhkan lawan. Biasanya dibuat dengan keyakinan bahawa kekejian itu akan membawa mereka memasuki syurga tertinggi nanti.
Di sisi yang lain orang politik berseteru, bertelagah dan mengintai-intai di mana ada 'lobang' yang boleh mendera pihak yang tidak sehaluan dengan mereka.
Barangkali kebencian rakyat terbanyak kepada mereka langsung tidak membekas di hati dan jika boleh ia mahu ditambah biar berdaki dalam setiap hela nafas masing-masing.
Dan di antara kedua-dua sisi itu ialah kita yang terus sesak bernafas untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan