Mohsin Abdullah
Mengapa orang Umno suka guna analogi ‘perkahwinan’ apabila bercakap mengenai sesuatu langkah politik? Ingat tak apabila Muafakat Nasional ditubuhkan dulu antara Umno dengan PAS? Pemimpin Umno (dan juga PAS) ibaratkan penubuhan itu bagai perkahwinan.
Terkini muncul bekas naib presiden Ismail Sabri Yaakob setelah agak lama menyepi sejak tidak jadi perdana menteri. Tup-tup muncul dengan berkata kerjasama partinya dengan Pakatan Harapan ialah ‘perkahwinan paksa’ yang sukar untuk bertahan lama. Dalam erti kata lain Ismail meramalkan kerjasama berkenaan atau lebih tepat kerajaan perpaduan bakal roboh. Mengapa beliau meramal demikian?
Sebelum itu imbau kembali penubuhan kerajaan perpaduan. Ia wujud demi memenuhi titah Yang di-Pertuan Agong agar kerajaan campuran dibentuk apabila PRU15 tidak menyaksikan mana-mana gabungan parti politik mendapat majoriti mudah untuk memerintah secara mutlak. Gesaan itu baginda suarakan dengan mengambil kira kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat. Pakatan Harapan menyambut titah Agong. Begitu juga Barisan Nasional. Oleh itu, pada hemat, saya untuk menggelar ia ‘perkahwinan paksa’ tidak betul. Adakah Ismail menyifatkan Agong memaksa PH dan BN berkahwin?
Perlu juga diingat Muhyiddin Yassin, pengerusi Perikatan Nasional, menolak saranan Agong kerana lebih rela menjadi pembangkang. Sejak keputusan itu sehingga ke hari ini PN yang dianggotai Bersatu dan PAS tidak pernah dikenakan apa-apa tindakan. Lantas membuktikan Agong memberi parti politik kebebasan untuk membuat keputusan masing-masing.
Maksudnya tidak ada paksaan. Ditegas sekali lagi, menggunakan istilah ‘perkahwinan paksa’ tidak betul.
Pada hemat saya, jika istilah ‘perkahwinan’ dan elemen ‘paksa’ mahu juga digunakan, paling dekat atau sesuai ialah ungkapan ‘terpaksa kahwin’ yakni PH dan Umno terpaksa berbuat demikian. PH yang dianggotai PKR, DAP, dan Amanah ‘terpaksa kahwin’ untuk memanfaatkan jumlah kerusi yang mereka menang sekaligus menempatkan Anwar Ibrahim di jawatan perdana menteri. Umno pula ‘terpaksa kahwin’ demi memastikan ia duduk dalam kerajaan dan untuk “political survival”. Gabungan politik Sabah dan Sarawak ‘terpaksa kahwin’ demi menjayakan agenda Borneo dan menjaga kepentingan rakyat wilayah berkenaan.
Bagaimana pula DAP? Parti berbilang bangsa tetapi majoriti Cina itu ‘terpaksa kahwin’ dengan mengambil risiko dicemuh pengundinya terutama masyarakat Cina kerana berbaik-baik dengan Umno, yang disifatkan penyokongnya sebagai parti ‘tidak bersih’.
Mujur bagi DAP, pengundi mereka ‘menerima hakikat’ parti itu terpaksa berbaik dengan Umno untuk mengelak PN berkuasa. Bagi majoriti masyarakat bukan Melayu, Umno “is the lesser devil” berbanding PN. Jelas takutnya mereka akan PN membolehkan mereka ‘merestui’ kerjasama DAP-Umno dalam kerajaan.
Berbalik persoalan tadi – mengapa Ismail meramalkan kerajaan perpaduan bakal roboh? Beliau berkata ‘perkahwinan paksa’ yang mungkin sukar untuk bertahan lama merujuk kenyataan pemimpin Umno dan DAP tempoh hari. “Dah ada dah, DAP komen Umno, Umno komen DAP,” kata beliau. Memang ada DAP komen Umno dan Umno komen DAP yang dikatakan Ismail. Persoalannya adakah ia pada tahap serius yang akan membawa padah kepada kerajaan perpaduan? Terpulang interpretasi masing-masing.
Yang berlaku setakat ini ialah Naib Pengerusi DAP Perak, Aziz Bari, dipetik Utusan Malaysia berkata peranan Umno menarik sokongan orang Melayu masih tidak jelas memandangkan peranan tersebut dimainkan oleh PN. Pada pandangan saya, apa yang dikatakan Aziz itu ada benarnya. Seperti yang pernah dinyatakan pada artikel saya terdahulu, serangan PH ke atas Umno pada kempen PRU15 meninggalkan kesan umpamanya lagu “hoi ya hoi penyamun”. Tetapi strategi PH itu lebih menguntungkan PN. Umno kalah teruk kerana dilihat parti tercemar rasuah, oleh bukan sahaja orang bukan Melayu tetapi orang Melayu juga.
Lalu ramai pengundi Melayu yang menarik muka daripada Umno dan menyokong PN. Sehingga kini belum ada petunjuk mereka akan ubah pendirian. Jelas ini akan hanya terjawab apabila enam negeri di Semenanjung mengadakan PRN, dijangka tidak lama lagi.
Apa pun yang dikatakan Aziz, iaitu “berdasarkan rekod PRU15 apabila pada peringkat awalnya undi PN dijangka meleset namun yang berlaku adalah sebaliknya” adalah fakta. Tetapi tidak disenangi Umno.
Mungkin yang lebih menyakiti Umno ialah apabila Aziz turut dipetik berkata Umno dilihat hanya menumpang kekuatan PH kerana kelangsungan parti itu semakin pudar. Secara peribadi saya setuju.
Bagaimanapun Ahli Majlis Kerja Tertinggi Nur Jazlan Mohamed menyerang balas sambil menyifatkan DAP lah ‘liabiliti’ bagi Umno memikat semula undi Melayu.
“Untuk keadaan sekarang pun kita susah nak tarik sokongan Melayu kembali kepada Umno disebabkan DAP sendiri kerana ramai orang Melayu tidak percayakan parti itu,” kata Nur Jazlan dipetik Utusan Malaysia.
Adakah benar Umno tidak (atau belum?) mampu tarik minat orang Melayu kerana Melayu tidak percaya DAP? Atau orang Melayu masih mencurigai pemimpin Umno yang tercalar dengan tuduhan rasuah?
Atau orang Melayu tetap terpukau dek strategi Islami PAS dan kemelayuan Bersatu? Semua itu persoalan besar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan