"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ibu bapa dakwa anak cederakan diri sendiri lepas 'dibuli' guru

Puteri Aisya Sufian

Ibu bapa pelajar Tingkatan Empat di sebuah sekolah di Negeri Sembilan menuduh seorang guru disiplin membuli anak mereka sehingga didakwa mencederakan diri sendiri.

Mereka mendakwa kejadian itu berlaku selepas guru disiplin itu memaksa pelajar itu menandatangani surat akuan atas tuduhan berkelakuan tidak senonoh.

“Dia (pelajar itu) dibawa kepada guru disiplin di mana dia dituduh berkelakuan tidak senonoh dengan rakan sekelas perempuan.

"Kemudian guru itu meminta kedua-dua pelajar menandatangani deklarasi mengenai 'tindakan' mereka," kata Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia Arun Dorasamy kepada pemberita hari ini.

Bercakap bagi pihak ibu bapa pelajar itu, Arun menjelaskan bahawa pelajar itu dituduh oleh guru lain yang menyaksikan dia bercakap dengan rakan sekelas perempuan di dalam kelas.

Tambahnya, pelajar itu dibawa kepada guru disiplin yang didakwa mengusik budak itu dan terus mengaibkannya di hadapan guru lain.

“Apa yang sebenarnya berlaku ialah rakan sekelas itu menghulurkan hadiah hari jadi kepadanya, yang juga pada hari yang sama. Ia adalah gelang.

"Dia memberitahu saya dia berasa dihina dengan apa yang dilakukan oleh guru disiplin itu," kata Arun.

Tidak lama selepas itu, pelajar itu didakwa mencederakan diri sendiri di sekolah pada hari yang sama.

Keesokan harinya (22 Mac), laporan terhadap pihak sekolah dan guru telah dibuat di balai polis daerah Jempol oleh ibu bapa pelajar itu.

Malaysiakini telah menghubungi polis Negeri Sembilan untuk mendapatkan ulasan.

Pelajar didakwa dibuang sekolah

Pada 3 April, kira-kira dua minggu selepas kejadian, pihak sekolah didakwa membuang pelajar itu atas tuduhan berkelakuan tidak senonoh.

Difahamkan pihak sekolah telah memaklumkan perkara ini kepada keluarga berkenaan melalui surat.

Ibu bapa pelajar berkenaan menyatakan bahawa mereka telah mengemukakan rayuan kepada pejabat pendidikan daerah berhubung tindakan terhadap anak mereka tetapi masih belum menerima jawapan.

“Ibu bapa enggan menerima pembuangan anak mereka. Mereka ingin tahu mengapa pihak sekolah enggan mendengar cerita pihak satu lagi.

"Mereka juga menuntut siasatan yang lebih teliti terhadap guru disiplin itu," kata Arun.

Ibu bapa pelajar itu mendakwa bahawa ini bukan kali pertama anak mereka dibuli oleh guru disiplin.

Menurut Arun, ibu bapa pelajar itu juga menggesa Kementerian Pendidikan meneliti perkara berkenaan dan meminta pihak sekolah bertanggungjawab.

Dia berkata sekiranya pihak sekolah tidak mempedulikan kebimbangan dan tuntutan mereka, ibu bapa pelajar itu akan membawa perkara itu ke mahkamah.

Malaysiakini telah menghubungi kementerian untuk mendapatkan ulasan.

Tiada ulasan: