"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sanusi Md Nor: Untung atau rugi buat PAS?

Mohsin Abdullah

Sebenarnya bukan hal ini yang saya nak tulis kali ini. Iya lah semalam sudah tulis mengenai Ahli Parlimen PAS, Ismail Muttalib, lantas takkan nak tulis lagi pasal pemimpin parti itu dua hari berturut-turut. Namun kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Perikatan Nasional Kedah, M Marimuthu, semalam mendorong saya bercakap mengenai Sanusi Md Nor, pemimpin PAS yang memegang jawatan menteri besar Kedah.

Marimuthu daripada Parti Gerakan, sekutu PAS dan Bersatu dalam PN. Kata beliau, populariti Sanusi dijangka membawa lebih ramai pengundi bukan Muslim menyokong PN di Kedah pada PRN akan datang. Ini membuatkan saya angkat kening. Pertama sebab seperti saya kata pada artikel semalam, tindakan Ahli Parlimen Maran yang mengaitkan orang Cina dengan komunisme hanya berjaya menjauhkan lagi masyarakat berkenaan daripada PAS.

Kedua, seperti saya berulang kali kata sebelum ini, orang bukan Melayu terutama komuniti Cina sememangnya tidak senang dengan PAS yang mereka anggap ekstrem. Pandangan ini disokong penganalisis serta pemerhati politik berpandukan tingkah laku dan kenyataan pemimpin PAS termasuk presidennya, Hadi Awang, yang bukan sahaja melukai perasaan masyarakat bukan Islam tetapi juga menakutkan mereka. Sanusi termasuk dalam golongan itu.

Sanusi seperti umum tahu kerap mencetus kontroversi, umpamanya beliau pernah membuat kenyataan yang dikatakan menghina komuniti minoriti (kaum India) kerana mengaitkan mereka dengan arak. Pentadbiran beliau juga bertindak meroboh kuil Hindu. Bantahan dan rayuan penganut Hindu tidak dihiraukan. Namun perlu dinyatakan kuil yang diroboh dikatakan dibina secara haram. Dalam erti kata lain, tanpa izin pihak berwajib.

Pada Januari 2021, beliau tidak memberi cuti umum bagi perayaan Thaipusam. Alasannya peningkatan kes Covid-19. Ada logik tindakannya namun MCA dan MIC menyifatkan Sanusi tidak menghormati hak masyarakat minoriti. Beliau yang juga presiden kelab bola sepak Kedah membuat satu lagi kenyataan yang dikatakan menghina pemain importnya, dengan menggelar mereka “awang hitam”. Sanusi juga terkenal dengan tindakannya ‘mengusik’ JDT.

Pada Ogos 2021, beliau ‘bergurau’ dengan wakil media berhubung kontena sejuk untuk menyimpan mayat mangsa Covid-19. Selaku menteri besar, beliau mengharamkan judi dan penjualan arak di Kedah.

Semua itu tidak menyenangkan pelbagai pihak, masyarakat bukan Islam khususnya. Oleh itu apabila Marimuthu berkata populariti Sanusi akan membawa lebih ramai pengundi bukan Islam menyokong PN, ia saya anggap sesuatu yang pelik.

Betul ke Sanusi popular dalam kalangan orang bukan Islam?

“Sanusi menteri besar yang disenangi dan mudah didekati,” kata Marimuthu dipetik media. Tetapi beliau mengaku terdapat kebimbangan mengenai larangan 4D (perjudian berlesen).

Apa pun keyakinan mendapat sokongan pengundi bukan Melayu, kata Marimuthu, berdasarkan tinjauan yang dilakukan PN. Beliau tidak menghuraikan tinjauan yang dilakukan. Tidak diberitahu apa dan bagaimana ia dilaksanakan dan jumlah responden jika pungutan suara dijalankan.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahya, pula menegaskan Sanusi akan kekal sebagai “poster boy” PAS-PN untuk PRN Kedah kelak. Ertinya PN khususnya PAS cukup yakin Sanusi ialah figura popular meskipun mencetus pelbagai kontroversi yang menyentak bukan sahaja orang bukan Melayu tetapi sebilangan orang Melayu sendiri.

Bagi saya, Sanusi seorang “strategist”, pemimpin yang bijak mencari dan mendapat perhatian umum. Beliau saya lihat gemar “provoke” dalam menjayakan agendanya. Tindakannya berhubung judi, arak, kuil, dan sebagainya pula dikatakan diterima baik oleh masyarakat Melayu-Islam. Golongan ini majoriti di Kedah. Sokongan padu mereka ertinya kemenangan pilihan raya dalam genggaman.

Perang mulut dengan kerajaan Pulau Pinang yang diterajui DAP (bersabit isu bekalan air umpamannya) juga dilancar untuk menarik minat pengundi Melayu. Begitu juga perang mulut dengan TMJ pemilik JDT berhubung beberapa gelagat bola sepak. Kita tahu orang Melayu minat bola sepak.

Pada Disember 2020, Sanusi mengumumkan kerajaannya memberi permit kepada sebuah syarikat dari Kuala Lumpur untuk mencari dan mengambil unsur-unsur hasil bumi bernilai RM43 trillion. Setelah siasatan lanjut simpanan unsur hasil bumi hanya dianggarkan RM62 billion.

Baru-baru ini Sanusi mendakwa ada usaha (jahat?) untuk menyingkir beliau daripada Majlis Kewangan Negara. Untuk pendekkan cerita, Selasa lalu iaitu 18 April beliau menghadiri mesyuarat majlis berkenaan di Putrajaya yang dipengerusikan Anwar Ibrahim selaku perdana menteri dan menteri kewangan. Apa pun ceritanya, Sanusi berjaya mendapat perhatian.

Tidak dinafi dalam kalangan PAS, Sanusi disanjung. Beliau dilihat sebagai “gung ho”, pemimpin yang tidak takut ‘tembak’ musuh. Atau tembak dulu baru tanya. Ciri yang ramai kata perlu ada dalam pemimpin.

Saya percaya jika Sanusi meneruskan hasrat bertanding jawatan naib presiden pada pemilihan PAS lalu beliau akan menang. Tetapi beliau menarik diri pada saat ahkir untuk bertanding jawatankuasa PAS Pusat untuk penggal 2021-2023. Sanusi menang untuk menduduki tempat kedua di belakang anak presiden PAS, Muhammad Khalil. Hanya tujuh undi memisahkan mereka.

Bagi saya, Sanusi mempunyai masa depan cerah dalam PAS. Beliau mampu dipilih perwakilan PAS untuk jawatan timbalan presiden malah jawatan presiden suatu ketika nanti. Cuma persoalannya bila.

Jika betul apa yang dikata Marimuthu mengenai populariti Sanusi dalam kalangan orang bukan Muslim di Kedah, maka beruntunglah PAS. Bagaimanapun tingkah laku dan kenyataannya berkaitan masyarakat bukan Melayu akan mempunyai kesan kepada PAS secara keseluruhannya di luar Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang diperintah PAS.

Sanusi seorang pemimpin parti sekaligus tingkah laku, pendirian, serta kenyataannya melambangkan PAS. Sekurang-kurangnya dilihat mewakili pendirian PAS. Golongan di luar tiga negeri yang disebut tadi, yang sememangnya gusar, bimbang, dan takut terhadap garis keras akan terus gusar bimbang dan takut.

Dalam konteks ini Sanusi tidak menguntungkan PAS. Bak kata Inggeris, “a bane not boon to the PAS cause”.

Tiada ulasan: