"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

CAP kesal kerajaan benar penjualan mercun, bunga api

SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal apabila kerajaan memberi kebenaran penjualan mercun dan bunga api.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, dengan kebenaran tersebut, ia menyebabkan peniaga haram akan mengambil kesempatan untuk menjual jenis bunga api yang dilarang di pasaran.

Menurutnya, walaupun Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Meng memberi amaran kepada penjual haram bahawa mereka akan dikenakan tindakan tegas, perkara itu dilihat tetap akan berlaku.

"Kami amat kesal apabila kerajaan menarik semula larangan penjualan mercun dan bunga api. Ia amat berbahaya kepada orang awam khususnya kanak-kanak. Baru-baru ini, dua kes dilaporkan melibatkan seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan.

"Dengan kebenaran penjualan mercun dan bunga api ini, ia akan menyebabkan permintaan di pasaran lebih tinggi. Secara tidak langsung akan memberi peluang kepada mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menyeludup bahan api tersebut ke negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Februari, kerajaan bersetuju untuk membenarkan penjualan mercun dan bunga api, namun ia tertakluk peraturan serta garis panduan yang akan dikeluarkan kelak.

Kor Ming dilaporkan berkata, untuk itu Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menentukan garis panduan untuk itu, manakala isu membabitkan duti akan ditetapkan Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, perkara itu dipersetujui melalui mesyuarat Kabinet semalam selepas mengambil kira penjualan mercun dan bunga api boleh menjadi satu lagi punca hasil kepada negara.

Sementara itu, Mohideen berkata, ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka bermain mercun dan bunga api sehingga tercedera juga perlu diambil tindakan tegas.

"CAP memohon kerajaan mengkaji semula kebenaran menjual mercun dan bunga api dengan mematuhi Akta Bahan Letupan 1957. Haramkan sepenuhnya penjualan kesemua bahan api yang berbahaya ini.

"Sekurang-kurangnya kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang agar peniaga haram tidak mengambil kesempatan ke atas kelonggaran yang diberikan. Kerjasama pembeli juga penting, yang mana pembeli boleh menggunakan kuasa mereka supaya tidak membeli daripada penjual haram," katanya.

Selain itu, beliau berkata, CAP juga menggesa pihak berkuasa antaranya polis dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia supaya memperhebatkan operasi selain mengambil tindakan tegas terhadap penyeludupan serta penjualan bunga api dan mercun di seluruh negara.

"Pihak berkuasa perlu mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah termasuk hukuman penjara dengan tempoh lebih lama.

"Kita percaya, jika penguatkuasaan dipertingkatkan, penyeludupan dapat dibendung," ujarnya.

Tiada ulasan: