"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Pengambilan paksa’ Kompleks Petronas di Khartoum, Malaysia panggil duta Sudan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Duta Sudan akan dipanggil sebagai bantahan susulan laporan “pengambilan paksa” Kompleks Petronas di negara itu, kata Menteri Luar Zambry Abd Kadir.

Sambil memaklumkan rakyat Malaysia yang berada di kompleks terletak di Khartoum berjaya dipindahkan ke tempat selamat, petang semalam (waktu Sudan), Zambry menggambarkan situasi di negara itu semakin meruncing.

“Berikutan dengan situasi yang semakin meruncing dan susulan kepada laporan berkenaan ‘pengambilan paksa’ (take command by force) Kompleks Petronas di Sudan yang juga menempatkan Kedutaan Besar Malaysia, saya telah mengarahkan timbalan ketua setiausaha (hubungan dua hala) untuk memanggil Duta Besar Sudan bagi menyuarakan pandangan Malaysia dalam konflik terbaharu ini.

“Selain itu, Malaysia juga menyampaikan bantahan ke atas tindakan pihak-pihak tertentu yang telah menceroboh kompleks berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Zambry berkata, situasi di Sudan terlalu kompleks.

Katanya, krisis melibatkan perbalahan politik di antara dua pihak utama ‘Transitional Sovereignty Council’.

Beliau berkata, berdasarkan laporan diterima, kedua-dua pihak masih belum mencapai kata sepakat untuk menamatkan pertempuran bersenjata yang telah meletus.

Zambry ketika mengulas berhubung pertemuan dengan Duta Besar Sudan, timbalan ketua setiausaha (hubungan dua hala) telah menekankan keutamaan untuk kesemua pihak di Sudan memastikan keselamatan rakyat Malaysia di negara berkenaan dipelihara.

“Ia adalah konflik dalaman dan kepentingan warganegara asing tidak harus menjadi sasaran pihak-pihak yang bertelagah,” katanya.

Beliau berkata, demi memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia, pihaknya telah merangka pelan evakuasi membawa pulang 32 rakyat Malaysia, berdasarkan data terkini yang dikongsikan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum.

Bagaimanapun, katanya, keadaan semasa belum mengizinkan proses evakuasi dilakukan kerana pertempuran masih memuncak.

“Ia akan dilaksanakan bersama negara-negara sahabat serta-merta sebaik sahaja ada peluang berbuat demikian,” katanya.

Tiada ulasan: