FMT Reporters
PETALING JAYA: Penggeledahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di rumah dan pejabat seorang menteri di Putrajaya kelmarin tidak menemui sebarang bukti diperlukan.
Sumber dipetik Utusan Malaysia berkata, SPRM akan terus menjejaki jutaan ringgit yang didakwa diserahkan “orang tengah” itu dan tidak menolak kemungkinan memanggil menteri terbabit sekali lagi dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.
“Difahamkan, tiada sebarang rampasan dilakukan kerana SPRM tidak menemui sebarang bukti diperlukan.
“SPRM juga dalam tindakan mengesan saksi lain bagi mengukuhkan siasatan kes itu,” katanya menurut akhbar itu.
Sumber itu berkata, SPRM masih menyiasat kemungkinan wang tunai itu disimpan di lokasi tertentu atau sudah digunakan.
Semalam, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar menafikan laporan kediamannya digeledah SPRM selepas keterangannya diambil kelmarin.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, pula dilaporkan berkata Sivakumar tidak diarahkan bercuti walaupun beliau sedang disiasat SPRM.
Beliau meminta semua pihak tidak membuat sebarang telahan kerana ia hanya dalam proses siasatan, bukannya didakwa di mahkamah.
Jumaat lalu, SPRM menahan setiausaha sulit Sivakumar berhubung siasatan ke atas kelulusan kuota pekerja asing.
Sehari sebelumnya, agensi antirasuah itu menahan seorang pegawai kanan Sivakumar bersama seorang ejen pengambilan pekerja asing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan