"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tergugatkah kerajaan perpaduan dengan isu Najib?

Hariz Mohd

Walaupun bersama dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sesetengah pemimpin Umno dan PH kelihatan masih berseteru dengan Najib Razak menjadi pusat perselisihan faham berkenaan.

Najib - yang pernah menjadi perdana menteri dan presiden Umno - kini mendekam di penjara selepas disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan jenayah berkaitan 1MDB.

Dia dihukum penjara 12 tahun, selain denda RM210 juta.

Kira-kira dua minggu lalu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan untuk membuat permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong agar Najib diberikan pengampunan diraja.

Beberapa pemimpin PH - seperti veteran DAP Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim - secara terbuka menyatakan rasa tidak setuju mereka.

Lim dan Hassan sependapat bahawa pembebasan Najib akan memberi kesan buruk kepada kerajaan Anwar.

Ia kemudian 'disambut' dengan reaksi bertentangan daripada pemimpin Umno seperti ahli MKT Mohd Puad Zarkashi yang mengecam Lim serta PH semalam.

Tak ada banyak pilihan

Antara lain Mohd Puad mendakwa PH membantah pembebasan Najib kerena mereka bimbang terhadap pengaruh bekas ahli parlimen Pekan tersebut.

Pertembungan pandangan itu mengundang persoalan terhadap masa depan PH yang sebelum ini memerlukan sokongan daripada Umno-BN untuk membentuk kerajaan pusat.

Profesor Pengajian Asia di Universiti Tasmania, James Chin, berpendapat walau apa pun keputusan terhasil daripada permohonan Umno kepada Agong, ia tidak semestinya membawa Umno menarik diri daripada kerajaan perpaduan di Putrajaya.

Hujah utama Chin ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hampir tidak mempunyai tempat lain untuk dituju kecuali memilih untuk bersama dengan PN.

Bagaimanapun, Chin memberi amaran, keputusan yang memihak kepada Najib akan memberi impak besar kepada asas sokongan PH khususnya dalam kalangan pengundi bukan Melayu.

"Bahayanya ialah penyokong PH akan meninggalkan gabungan itu dalam isu ini.

"Saya fikir ia adalah jelas jika anda melihat kepada penyokong PH.

"Saya tidak bercakap tentang penyokong Melayu. (Bagi) Penyokong bukan Melayu, 90 peratus atau lebih menentang pengampunan terhadap Najib kerana mereka benar-benar percaya Najib bersalah dan menganggap Najib layak dipenjarakan," katanya.

Penganalisis Oh Ei Sun juga berkongsi pandangan sama dan yakin tidak mungkin Umno mahu berbaik-baik dengan PN.

"Umno berkemungkinan akan berang (jika Najib tidak mendapat pengampunan diraja), tetapi ia hanya untuk sementara waktu kerana mereka tidak mempunyai tempat lain untuk berpaling, dan kemungkinan parti itu tidak akan beralih kepada PN, " kata felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura itu.

Bagaimanapun, dia yang pernah menjadi setiausaha politik kepada Najib berkata, walaupun ramai penyokong PH membenci Najib dan mungkin meninggalkan gabungan itu jika bekas PM terbabit diampunkan, mereka harus menimbang dengan teliti langkah tersebut.

Ada kes lain di mahkamah

Hal itu kerana, dakwanya, kedudukan PH yang tidak dapat menarik sokongan mencukupi daripada kalangan pengundi Melayu yang ketika ini kelihatan lebih cenderung kepada PN.

"Sama ada penyokong PH suka atau tidak, pembebasan Najib mungkin satu-satunya harapan untuk memenangi sebahagian undi Melayu untuk kerajaan perpaduan dalam pilihan raya negeri yang akan datang dan masa depan.

"Jadi parti-parti dalam PH perlu menimbang dengan teliti pendirian mereka mengenai pengampunan Najib," katanya.

Pada masa sama Chin percaya bahawa kekecohan berhubung isu pengampunan Najib ketika ini lebih kepada "helah perhubungan awam".

Dakwa Chin, tidak ada cara untuk Najib mendapat pengampunan diraja dalam masa terdekat memandangkan bekas perdana menteri itu juga menghadapi perbicaraan lain yang perlu dihabiskan terlebih dahulu.

"...Maksud saya ialah anda tidak boleh memohon pengampunan diraja jika anda mempunyai beberapa lagi kes mahkamah yang belum selesai.

“Jadi, perkara ini banyak berkaitan dengan perhimpunan Umno apabila perwakilan menyeru Umno untuk campur tangan. Justeru mereka hanya meneruskan usul tersebut.

"Saya tidak fikir ini adalah sesuatu yang akan membawa kepada pengampunan diraja... sekurang-kurangnya bukan untuk jangka pendek," tambah Chin.

Bagi penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi, proses pemberian pengampunan diraja terletak pada kebijaksanaan Agong dan sebarang keputusan pihak istana harus dihormati oleh semua.

Justeru, kata Awang Azman kepada Malaysiakini, tiada parti politik harus dipersalahkan atas apa jua keputusan yang dibuat oleh Agong.

“Pada pandangan saya, tidak ada sesiapa yang patut dipersalahkan sekiranya Najib tidak diberikan pengampunan diraja, kerana itu adalah kuasa Agong.

“Maka tidak timbul isu Ahmad Zahid atau Umno keluar dari kerajaan perpaduan kerana mereka telah melakukan semua yang mereka termampu dan apa sahaja yang diputuskan oleh raja mesti dihormati, bukan sahaja oleh ahli politik tetapi juga oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Boleh diuruskan pemimpin parti

Malaysiakini juga bercakap dengan beberapa pemimpin politik untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai isu pembebasan Najib.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin turut memberikan jawaban selari dengan Awang Azman dan pada masa sama menganggap isu tersebut boleh membawa kepada perbalahan dalam kerajaan.

“Keputusan (sama ada mengampunkan Najib atau sebaliknya) terletak pada kuasa Yang di-Pertuan Agong, bukan mana-mana pihak.

"Soal perbezaan pendirian (dalam kalangan kerajaan) itu memang dijangka," katanya.

Begitu juga, Ketua Penerangan PKR yang juga Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Katanya dia yakin isu itu mampu diuruskan dengan baik oleh pemimpin PH dan BN.

"Setiap pihak ada jangkaan sendiri namun pada masa yang sama perkara ini perlu melalui proses sendiri mengikut Perlembagaan Persekutuan.

"Para pemimpin tetap berpandukan kepada perkara ini.

"Ini adalah sesuatu yang saya percaya pemimpin PH dan BN boleh dan akan uruskan," katanya.

Tiada ulasan: