"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sanusi diminta dedah status pembinaan LRA seluruh Kedah

M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bh.com.my

ALOR SETAR: Kerajaan negeri perlu telus dan berterus terang mengenai status pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) yang menyebabkan masalah air bersih gagal di Kedah diselesaikan sehingga kini.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata dakwaan gangguan bekalan air yang dikaitkan dengan faktor cuaca kemarau tidak boleh dianggap sebagai punca utama berlakunya masalah itu.

Katanya, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sepatutnya menjelaskan mengapa kerja pembinaan LRA terutama di Bukit Selambau dan Sungai Limau berjalan terlalu perlahan berikutan ia memberi kesan secara langsung ke atas penduduk.

"Masalah gangguan bekalan air bukan disebabkan perubahan cuaca yang mengakibatkan penurunan kuantiti sumber air, tetapi ia lebih disebabkan Menteri Besar yang terpesong fokus dan tumpuan daripada masalah rakyat kepada agenda populariti diri, sentimen mahu jadi hero dan juga strategi meraih simpati.

"Menteri Besar perlu telus dan berterus terang dengan memberi gambaran tepat tentang apa yang berlaku di tapak LRA Bukit Selambau dan LRA Sungai Limau?

"Kenapa pembinaan atau tahap kerja bagi kedua-dua loji ini masih rendah dan perlahan? Kedua-dua loji ini amat penting dan memberi kesan langsung kepada pengguna air di daerah Kuala Muda," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

BH hari ini, melaporkan hampir satu juta daripada kira-kira 2.2 juta penduduk Kedah, dijangka mengalami krisis bekalan air yang disalurkan Syarikat Air Darul Aman (SADA) menjelang sambutan Aidilfitri hujung minggu ini.

Paling teruk terjejas adalah Daerah Kuala Muda terutama di Merbok, Tanjung Dawai, Bedong dan Sungai Petani, selain kawasan sekitar Kuala Kedah di Daerah Kota Setar akibat kepulangan beramai-ramai perantau ke kampung halaman.

Selain itu, gangguan bekalan air turut dijangka berlaku di beberapa daerah lain seperti Pendang, Kulim, Yan, Baling dan Sik menyebabkan penduduk terpaksa mula mengumpul simpanan air mulai minggu ini lagi.

Shaiful Hazizy berkata, pihaknya turut bimbang melihat tahap respon dan tindakan SADA terhadap krisis air yang dijangka berlaku sepanjang sambutan Aidilfitri kali ini.

"SADA ternyata sangat gagal menyelesaikan permasalahan aduan dan melakukan tindakan pantas. Pembekuan cuti kakitangan SADA sahaja tidak cukup sekiranya pemetaan sistem bekalan dan tindakan masih lagi bersifat 20 tahun kebelakang.

"Saya juga resah melihat proses penghantaran air ketika musim perayaan. Lori yang ditugaskan oleh SADA didapati punya banyak kelemahan dan meresahkan pengguna. Kebanyakan lori gagal menepati jadual ataupun terlewat daripada garis panduan yang ditetapkan," katanya.

Berikutan itu, pihaknya melahirkan rasa simpati kepada rakyat yang terjejas akibat gangguan bekalan air ketika kebanyakan penduduk negeri lain gembira menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

"Kepada rakyat Kedah, bertabahlah. Kita berdoa agar dibukakan hati Menteri Besar supaya berhenti bermain politik lakonan meraih simpati, jangan ego dan sentiasa beradab.

"Sesungguhnya tindak tanduk beliau sebelum ini sama sekali tidak membawa sebarang keuntungan dan faedah untuk rakyat terutama di negeri ini," katanya.

Tiada ulasan: