"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM sita harta RM3 juta dipercayai milik pegawai kedutaan di Bangladesh

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua pegawai agensi penguatkuasa yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Bangladesh.

Mereka disyaki menerima wang rasuah bagi pengeluaran visa luar negara dan kemasukan pelancong serta pekerja Bangladesh ke negara ini.

Dua pegawai terbabit masing-masing lelaki dan wanita direman selama tiga hari, bermula 18 sehingga 20 Apr 2023 selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah itu di Mahkamah Majistret Putrajaya, pada Selasa lalu.

Menurut sumber, SPRM mengesan beberapa transaksi kemasukan wang yang mencurigakan ke dalam akaun bank kedua-dua suspek dan mereka telah diarahkan pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan kes tersebut.

Tambah sumber, sebanyak lebih 20 akaun bank yang melibatkan individu dan syarikat berkaitan telah diambil tindakan pembekuan. Sehingga hari ini, pembekuan akaun dan penyitaan harta alih/tak alih yang melibatkan penyitaan lapan bidang tanah, dianggarkan berjumlah kira-kira RM3.1 juta.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

“Saya tidak menolak kemungkinan akan terdapat lagi beberapa tangkapan lain yang akan dibuat selepas ini,” katanya.

Beliau berkata, SPRM juga sedang mengesan seorang individu bernama Siti Liyana Sakijan untuk membantu dalam siasatan ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai wanita tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat Jayaraj Rajan di talian 016-6371082.

Tiada ulasan: