"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Luahan seorang mangsa kebakaran paip gas yang minta didengar


Nahas Putra Heights: Suara seorang mangsa
Harapandaily

LIM KEAN BOON

Datuk Bandar Subang Jaya menyatakan bahawa projek pembinaan deretan kedai itu telah mendapat kelulusan.

Namun, sepanjang pengalaman saya dalam bidang pembinaan, setiap kali kami berdepan dengan paip gas asli milik Petronas, kami terpaksa mengubah laluan, atau membina jambatan khas untuk melintasi paip tersebut.

Majlis Bandaraya memang berperanan sebagai pihak berkuasa tempatan dalam meluluskan pelan bangunan, tetapi kelulusan itu seharusnya merujuk kepada struktur rumah itu sendiri bukan termasuk kerja-kerja melintasi saluran gas Petronas atau kabel serta longkang yang berkait rapat dengan infrastruktur kritikal negara.

Sejujurnya, demi membina deretan kedai ini, TNB telah melakukan kerja-kerja pengorekan sebulan lalu.

Beberapa hari lepas pula, sempena Hari Raya, satu lagi kerja pengorekan dijalankan, mungkin berkaitan saluran air atau sistem perparitan.

Sehari sebelum kejadian, saya sendiri sempat melalui lokasi itu. Jentera JCB sedang beroperasi, dan saya diberi laluan untuk melintas. Selepas itu, mereka terus menggali.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di mana beliau? Exco Negeri Selangor yang memegang portfolio berkaitan memang ada turun padang, tetapi kenyataan yang diberikan terlalu umum, tiada arah dan tiada tindakan susulan.
Dalam rumah mangsa, peti sejuk masih dipenuhi makanan yang kini sudah rosak. Tidak bolehkah pihak berkuasa menghantar satu lori sampah, benarkan mangsa masuk ke rumah untuk mengutip barangan penting, dan dalam masa yang sama, keluarkan sisa makanan atau sampah ke hadapan rumah untuk dikutip?

Ini tindakan kecil tetapi sangat bermakna. Ia boleh mencegah masalah kebersihan dan bau busuk yang mungkin timbul selepas ini.

Pengurusan krisis

Saya tidak menafikan bahawa semua kerja Petronas dijalankan mengikut undang-undang dan akta sedia ada (Akta Petroleum), dan ya, sebahagian besar maklumat mereka adalah sulit dan dilindungi.

Namun, apabila berlaku insiden sebesar ini, tidakkah sepatutnya ada satu pasukan pengurusan krisis yang cekap, terlatih dan bersedia?

Mengapa tidak dipertimbangkan untuk membeli semula semua hartanah yang terjejas, ratakan, dan jadikan kawasan ini sebagai taman hijau – sebuah taman peringatan.

Sama seperti Taman Memorial 9/11 di Amerika Syarikat, sekurang-kurangnya kita beri ruang untuk semua pihak belajar sesuatu supaya perancangan dan pembinaan masa hadapan tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Ia juga boleh menjadi simbol kesedaran dan tanggungjawab, bukan medan untuk dijadikan bahan politik atau cercaan media.

Ini bukan bencana alam. Bukan kebakaran biasa. Ini adalah kemalangan tahap pertama, berlaku di kawasan kediaman.

Syarikat insurans sendiri tidak tahu bagaimana untuk mengkategorikannya, akhirnya, memilih untuk membayar pampasan secara automatik.

Petronas sepatutnya mengambil peluang ini untuk tampil lebih terbuka, tangani isu ini dengan segera dan menyeluruh.

Dengan tindakan yang betul, orang awam akan berasa tenang, isu politik dapat dielakkan, harga saham tidak terjejas, dan kerja-kerja baik pulih paip dapat dimulakan tanpa gangguan. Ini peluang untuk penyelesaian yang menguntungkan semua pihak.

Dulu, saya menulis dari sudut pandangan ketiga. Tapi kali ini, saya menulis dari hati kerana saya sendiri adalah mangsa. Saya saksikan dengan mata saya sendiri lidah api menjulang setinggi 100 meter. Saya rasai sendiri panasnya yang mencecah ribuan darjah Celsius.

Saya lalui detik panik seperti dalam filem bencana gunung berapi. Selepas itu, guruh dan hujan menyusul. Ia bukan sekadar tragedi—ia trauma.

Kerajaan adalah pemilik Petronas. Maka insiden ini seharusnya dijadikan iktibar besar. Pampasan bukan isu bagi syarikat sebesar itu.

Tapi jika tidak ditangani dengan penuh kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab, ia bakal mencetus kegelisahan di seluruh kawasan sepanjang saluran paip gas negara—dan lebih parah, menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap kerajaan.

Petronas mungkin tidak memiliki pasukan penasihat krisis yang lengkap. Tetapi saya percaya Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ada.

Beliau tahu betapa besar kesan kejadian ini. Harapan saya, agar ada wartawan, pihak media atau individu berpengaruh yang dapat menyampaikan perkara ini kepada pemimpin yang relevan.

Semoga pendekatan terhadap krisis ini lebih serius, lebih telus, dan benar-benar bertanggungjawab.

Kongsikan agar suara mangsa tidak tenggelam.

Tiada ulasan: