"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

3 penjenayah Rohingya ditembak mati terlibat lebih 50 kes pecah rumah, samun

Faisal Asyraf
Keadaan cermin kereta yang dipandu oleh suspek yang ditembak mati.
GOMBAK: Tiga lelaki Rohingya yang ditembak mati oleh polis di Selayang Jaya awal pagi tadi dipercayai terlibat dengan lebih 50 kes pecah rumah dan samun sejak 2011.

Anggota polis yang sedang membuat rondaan terserempak dengan sebuah kereta dinaiki tiga lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 12.30 pagi.

Apabila diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, suspek enggan memberi kerjasama dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis. Sebagai tindak balas, polis membalas tembakan, yang membawa kepada kematian ketiga-tiga mereka di tempat kejadian.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata suspek disyaki sedang bersiap sedia untuk melakukan kegiatan pecah rumah ketika dihalang oleh polis.

“Siasatan menunjukkan suspek berusia 30-an dan dua daripadanya adalah pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

“Salah seorang daripada mereka, yang dipercayai sebagai dalang, mempunyai 12 sabitan jenayah sebelum ini dan pernah dipenjarakan dua kali, pada 2016 dan 2017 kerana pecah rumah,” katanya pada sidang media di IPD Gombak, di sini.

Hussein berkata, di Selangor sahaja, kumpulan itu dipercayai terlibat dalam 27 kes pecah rumah dan samun membabitkan kerugian RM1.3 juta.

Mereka juga terlibat dalam jenayah sama di negeri lain iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Pulau Pinang.

Mengenai kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin di Damansara Damai, Hussein mengakui polis berdepan cabaran dalam menyelesaikannya kerana lokasi budak lelaki itu ditemui adalah tempat kejadian jenayah sekunder.

“Kita masih belum mengesan lokasi jenayah utama tetapi kita tidak berputus asa. Kita percaya akan menemui suspek,” katanya.

Setakat ini, polis telah merekodkan keterangan daripada 225 orang dan mengambil sampel DNA daripada 248 individu.

Hussein juga berkata rakaman daripada kamera papan pemuka kereta dan kamera litar tertutup telah memberikan sedikit maklumat untuk pihak polis.

Beliau berkata polis juga telah meminta bantuan Interpol untuk menjalankan pemeriksaan ke atas pangkalan datanya pada sekurang-kurangnya satu profil DNA yang dikumpulkan semasa siasatan.

“Walaupun ia tidak konklusif, sebarang maklumat yang ada akan membantu,” katanya.

Tiada ulasan: