"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rogol murid 12 tahun, 4 lelaki dipenjara 16 tahun

FMT Reporters

PETALING JAYA: Empat lelaki dijatuhi hukuman penjara 16 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini kerana merogol budak perempuan berusia 12 tahun secara berkumpulan, dalam kejadian tiga tahun lalu.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu terhadap Muhammad Farizal Fauzi, 20, Tuan Muhammad Shafiq Tuan Ismail, 24, Muhammad Ghardafi Abdullah, 23, dan Ahmad Syah Herfudin Omar, 26, yang didapati bersalah terhadap pertuduhan berkenaan, menurut Harian Metro.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama merogol mangsa secara berkumpulan di ladang sawit di Dungun, antara 9 malam hingga 11 malam pada 29 Sept 2020.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap tiga tertuduh bermula daripada tarikh sabitan iaitu hari ini manakala hukuman terhadap Ahmad Shah Herfudin bermula daripada tarikh dia ditangkap iaitu pada 11 Okt 2020.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Syahrizal Wan Ladin dan Mohd Shahir Mat Jusoh.

Media sebelum ini pernah melaporkan lima lelaki ditahan kerana disyaki merogol murid tahun enam.

Mangsa mendakwa ditahan dua suspek dengan seorang daripadanya dikenali dan kemudian mengajaknya ke ladang sawit sebelum dirogol.

Tiga lagi suspek yang tiba di lokasi kejadian turut merogol mangsa.

Empat lelaki pada 5 Feb lalu diarahkan membela diri manakala seorang lagi yang berusia 19 tahun dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan.

Tiada ulasan: