"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ibu tergamak izin suami baharu nodai anak, konon mahu rawat gangguan makhluk halus

WAN SITI AMINAH

Seorang ibu tergamak menggadaikan maruah anak kandungnya sendiri demi memuaskan nafsu serakah suami yang baru dinikahinya.

Berlaku di Muar, Johor, wanita yang merupakan suri rumah itu mengaku bersubahat dengan suami menodai anaknya konon untuk mengubati gangguan makhluk halus.

Dalam kejadian yang berlaku dua tahun lalu itu, lelaki berkenaan telah bertindak merogol anak tiri berusia 17 tahun di dalam bilik isterinya pada jam 11.30 malam pada 2021 lalu.

Mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibaca, wanita berusia 41 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 376B kanun sama.

Seksyen 109 memperuntukkan hukuman sama bagi kesalahan dikenakan sekiranya tiada peruntukan dinyatakan, manakala Seksyen 376B, penjara sehingga 30 tahun dan juga 10 kali sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah Sesyen Muar kemudian menetapkan Januari depan bagi menjatuhkan hukuman terhadap ibu yang mengaku bersubahat dengan suaminya itu, lapor Buletin TV3.

Keputusan dibuat Hakim Abu Bakar Manat selepas pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan satu tarikh bagi membolehkan pihaknya menyediakan fakta kes berkaitan kejadian itu.

Oleh yang demikian, tarikh 30 Januari depan ditetapkan bagi menjatuhkan hukuman terhadap wanita itu selain sebutan semula kes, serahan dokumen dan juga laporan perubatan berkaitan kes suaminya.

Suaminya pula didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana merogol anak tiri tetapi tidak mengaku salah dengan semua kejadian dan masa berlaku di tempat sama.

Bagi Seksyen 376B pula, bapa tiri mangsa yang bekerja sebagai seorang buruh itu boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun serta 10 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada masa yang sama, mahkamah juga memutuskan bahawa reman terhadap kedua-dua tertuduh tersebut dilanjutkan mengikut Seksyen 259 Kanun Tatacara Jenayah.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala kedua-dua tertuduh pula tidak diwakili oleh peguam bela.

Tiada ulasan: