"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenapa Taki berselindung?

Hishamuddin Aun

Berdegar-degar Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan baru-baru ini menyangkal dakwaan akan ada lagi Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang akan menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Dalam nada menyindir, ketua whip PN itu berkata setiap dakwaan perlu dikemukakan bukti daripada bercakap kosong semata-mata.

Marah benar bunyinya Ahli Parlimen Kota Bharu itu kepada Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengenai kemungkinan tujuh atau lapan lagi Ahli Parlimen PN bersedia menyatakan sokongan kepada kerajaan jika itu yang menjadi galang ganti kepada meluluskan peruntukan pembangunan di kawasan masing-masing.

Seolah-olah lima Ahli Parlimen yang beralih sokongan itu tidak cukup menjadi tamparan, kebarangkalian ada lagi yang bakal menyusul umpama sesuatu yang tidak boleh diterima mereka. Siapa tahu mungkin ada yang sedang berkira-kira dan hanya menanti masa mengumumkannya berdasarkan bukti yang terbentang di depan mata.

Sebagai rekod, diperturunkan berikut kronologi Ahli Parlimen yang mengesahkan sudah menerima peruntukan bagi tujuan pembangunan kawasan masing-masing dalam tempoh yang tidak terlalu lama selepas menyatakan sokongan kepada kerajaan dan mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof seperti disyaratkan. Ia sekadar mengesahkan kerajaan tidak berolok-olok dalam mengotakan janji – sesuatu yang tidak disenangi PN dengan menjenamakannya sebagai suatu bentuk rasuah sebagai tukaran sokongan.

Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman yang pertama mengesahkan pada 13 Nov sudah menerima peruntukan selepas merundingkannya dengan pihak kerajaan. Ini disusuli pula oleh Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik yang mengesahkan pada 15 Nov sudah menerima peruntukan RM300,000 selepas menyatakan sokongan kepada Anwar. Menyusulinya, Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim mengesahkan pada 26 Nov sudah mendapat peruntukan.

Walaupun sedikit terkemudian berbanding rakan-rakan, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid – wakil pembangkang pertama menyatakan sokongan kepada perdana menteri – mendedahkan pada 3 Dis beliau sudah terima peruntukan yang dirundingkan. Ini dituruti oleh Syed Abu Hussin yang mengesahkan pada 11 Dis telah menerima peruntukan bagi kawasannya. Ini bermakna kelima-lima Ahli Parlimen PN yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar telah menerima peruntukan.

Takiyuddin mungkin mahu terus menyedapkan hati sendiri dengan kepercayaan bahawa lebih ramai yang akan mencontohi tindakan mereka tidak lebih dakwaan yang diada-adakan. Sehingga itu benar-benar berlaku, memang ia bersifat dakwaan tapi kita pun tahu ada banyak perkara yang berlaku daripada asalnya cakap-cakap kosong semata-mata. Ambil contoh ketika Iskandar mengumumkan menyokong perdana menteri 12 Okt lalu, diuar-uarkan akan ada beberapa lagi yang bakal menyusuli langkahnya. Melesetkah ia?

Daripada asalnya cuma seorang, kemudian berturut-turut lagi mengambil pendirian serupa hingga Takiyuddin dan kepimpinan PN ketika itu tidak tahu bagaimana hendak menutup muka. Apakah PN dapat mengadakan apa-apa jaminan bahawa ia akan ternoktah selepas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu?

Sebagai seorang yang turut bertanggungjawab mencetuskan tindakan Ahli Parlimen berkenaan kerana kegagalan merundingkan peruntukan kawasan buat wakil pembangkang, Takiyuddin tidak harus mudah melatah. Jika diamati, beliau juga terlalu mudah membuat dakwaan tapi tidak pula mahu berterus-terang melainkan berselindung di sebalik hujah yang samar. Sebab-sebabnya mungkin hanya beliau yang tahu tapi tidak mahu orang lain tahu.

Mengembalikan hujah Takiyuddin bahawa setiap dakwaan perlu dikemukakan bukti, kita hendak bertanya kepadanya mengapa rundingan dengan Fadillah gagal mencapai persetujuan selepas beberapa kali diadakan. Beliau mendakwa PN tidak meneruskan rundingan peruntukan sama rata Ahli Parlimen pembangkang kerana Fadillah meminta mereka menulis surat dengan menyatakan jaminan tertentu. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jaminan diminta kerajaan itu.

Sudah tentu timbul pertanyaan terhadap apa sebenarnya jaminan berkenaan. Terlalu berat atau tidak adilkah? Persoalan lebih besar ialah mengapa Takiyuddin enggan menghuraikannya dengan terperinci jika pun benar jaminan yang dituntut kerajaan itu tidak masuk akal. Apakah Takiyuddin mahu menyembunyikannya daripada penyokong PN dan PAS kerana khuatir ia akan mendedahkan kelemahan di pihaknya sendiri?

Fadillah sendiri ketika menafikan dakwaan Takiyuddin yang mengaitkannya dengan kegagalan rundingan peruntukan Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini menolaknya sebagai tidak berapa tepat. Lagipun, ia bukan di pihak kerajaan yang perlu menjelaskan bentuk jaminan itu, sebaliknya pembangkanglah yang perlu memberi pencerahan mengenainya. Tak perlu toleh kiri atau ke kanan kerana sudah terang lagi bersuluh Takiyuddin yang perlu buka mulut.

Kemudian, Takiyuddin menawarkan pendapat rundingan peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang akan mencapai keputusan berkesan jika membabitkan terus Anwar dengan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin. Ia tidak ubah seperti sengaja mahu mengada-adakan alasan setelah perdana menteri memberikan mandat kepada Fadillah untuk menguruskan perkara itu. Ia sebenarnya berkisar kepada syarat, bukannya individu. Jika syarat tidak boleh dipersetujui, Anwar sekalipun tidak akan merestuinya, ia semudah itu.

Sorong tarik sekalipun, ia tidak akan ke mana kecuali Takiyuddin menjelaskan apa sebenarnya jaminan yang diminta kerajaan. Kenapa Takiyuddin tak mahu dedahkan? Apa yang beliau cuba sembunyikan? Dedahkan supaya rakyat dapat menilai dan kerajaan juga boleh jelaskan. Hanya dengan cara itu, sesiapa saja boleh membuat pertimbangan sama ada kerajaan bersikap adil dan tidak zalim seperti didakwa atau pembangkang yang menzalimi Ahli Parlimen mereka sendiri.

Kecuali Takiyuddin berterus-terang, cukup-cukuplah menuduh Ahli Parlimen yang beralih sokongan kepada perdana menteri sebagai usaha mengejar jawatan dalam Kabinet melainkan hanya mahu peruntukan membantu rakyat seperti ditegaskan oleh Suhaili. Jangkaan Takiyuddin bahawa Syed Abu Hussin sebagai antara muka baharu yang diberikan jawatan dalam rombakan Kabinet, ternyata sindiran meloyakan daripada seorang yang jelas kecewa.

Tiada ulasan: