"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi hilang ‘senjata’ jika sambut damai dengan Anwar

Mohamad Fadli

Sebelum ini, Hadi Awang didakwa menolak usaha perdamaian dengan Anwar Ibrahim yang digerakkan Ikhwanul Muslimin, dua bulan selepas penubuhan kerajaan perpaduan, tahun lalu.
PETALING JAYA: Penganalisis politik berpandangan ada agenda politik berlindung di sebalik tindakan Presiden PAS Hadi Awang yang didakwa menolak usaha perdamaian dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata pemimpin PAS itu bimbang hilang ‘senjatanya’ untuk terus menyerang menggunakan agama dan bangsa jika beliau menerima pelawaan damai untuk berbaik-baik dengan Anwar.

“Kalau pendamaian itu disambung, habislah senjata PAS kerana itu modal politik mereka.

“Penolakan (perdamaian) Hadi itu amat mengecewakan tetapi ia amat difahami kerana ada agenda-agenda politik di belakangnya,” katanya kepada FMT.

FMT semalam melaporkan Hadi didakwa menolak usaha perdamaian dengan Anwar digerakkan Ikhwanul Muslimin, dua bulan selepas penubuhan kerajaan perpaduan, tahun lalu.

Sumber berkata usaha itu dibuat melalui wakilnya dari Qatar bertujuan memperkuatkan suara pemimpin Islam di peringkat antarabangsa lebih-lebih lagi memandangkan kedua-duanya daripada aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Wakilnya dikatakan datang melobi ke Malaysia sebanyak dua kali untuk mempertemukan Anwar dan Hadi bagi rundingan damai namun gagal.

Dalam pada itu, Azmi berkata PAS mendapat sokongan pengundi Melayu kerana parti itu mengambarkan hanya mereka boleh pertahankan agama dan kepentingan orang Melayu berbanding kerajaan perpaduan diketuai Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Mohd Yusof Kasim pula berpandangan Hadi sepatutnya berdamai dengan Anwar demi kepentingan Islam dan Melayu di Malaysia.

Katanya, serangan ‘yang bukan-bukan’ akan memburukkan lagi hubungan.

“Perpaduan di kalangan umat Islam amat diperlukan demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat di Malaysia dan di peringkat global,” katanya.

Tiada ulasan: