"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga asing kini pasang pengintip di Jalan Silang

Ada warga Bangladesh mengawasi pergerakan di Jalan Silang

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my
KEADAAN di Jalan Silang sehari selepas serbuan besar-besaran oleh PGA semalam. FOTO Asyraf Hamzah
KEADAAN di Jalan Silang sehari selepas serbuan besar-besaran oleh PGA semalam. FOTO Asyraf Hamzah
Kuala Lumpur: Beberapa warga asing di Jalan Silang, di sini, dipercayai 'jaga air' didapati mengawasi beberapa premis di kawasan berkenaan selepas digempur pihak berkuasa semalam.

Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati individu dipercayai warga Bangladesh itu memerhatikan kehadiran dan pergerakan pelanggan yang mencurigakan di luar premis.

Malah kumpulan individu itu juga dilihat sering menghubungi seseorang dan mengambil gambar kawasan sekitar.

Mengakui perkara itu, peniaga tempatan yang enggan dikenali berkata, kebanyakan individu berkenaan berkeliaran di luar premis sejak pagi tadi.

"Kita berniaga hari-hari di sini, tak pernah nampak mereka ini, hari ini baru nampak selain kehadiran wartawan yang ramai.

"Mula-mula ingat wartawan tapi mereka bercakap dalam bahasa asing dan sering ambil gambar kawasan sekitar," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, peniaga tempatan, Anuar Shari, 69, berkata, kebanyakan warga asing yang berkunjung dan berniaga di kawasan itu didakwa bersikap kurang ajar.

"Bila ramai sangat warga asing di sini, orang tempatan pun tidak mahu datang sini. Boleh dikira orang tempatan yang datang, saya jual air pun memang jarang orang tempatan beli.

"Saya sangat-sangat sokong tindakan pihak berkuasa (polis) serbu di sini. Harap kalau boleh ada tindakan seterusnya, setiap bulan pun tidak apa," katanya.

Bagi peniaga air balang, Md Khairul Othman, 40, berkata, terdapat beberapa warga asing bertindak kurang ajar.

"Mereka ini (warga asing) ada juga yang berniaga, datang jalan-jalan dan beli barang. Sini ramai Bangladesh, Myanmar. Pernah ada nampak mereka ini bergaduh, biadap," katanya.

Tinjauan di sekitar kawasan berkenaan juga mendapati suasana sedikit lengang dengan kurangnya lambakan warga asing selepas serbuan pihak polis.

Beberapa peniaga di kaki lima sekitar lokasi terbabit yang ditemui turut mengakui keadaan selepas tindakan pihak polis memberi impak yang baik.

Semalam, seramai 1,101 pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk dua kanak-kanak ditahan selepas lokasi tumpuan warga asing dikenali 'Mini Dhaka' di Jalan Silang, di sini, dikepung dan digempur Pasukan Gerakan Am (PGA).

Operasi yang bermula jam 11 pagi itu memeriksa sebanyak 60 premis di lokasi berkenaan serta di sekitar Kompleks Kota Raya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majeed dilaporkan berkata, serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima banyak aduan mengenai kebanjiran warga asing serta masalah jenayah di lokasi itu yang rata-ratanya didalangi warga asing.

Operasi bertujuan membanteras pelbagai jenayah terutama membabitkan warga asing selain turut memfokuskan kepada membanteras sebarang aktiviti tidak sihat di kawasan ini.

Tiada ulasan: