"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Batal, gantung lesen peniaga Jalan Silang sewa premis kepada warga asing

BERNAMA
ANGGOTA PGA bersama pihak berkuasa yang melakukan operasi di Jalan Silang, semalam yang digelar ‘mini Dhaka’. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor.
ANGGOTA PGA bersama pihak berkuasa yang melakukan operasi di Jalan Silang, semalam yang digelar ‘mini Dhaka’. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor.
Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membatalkan atau menggantung sementara lesen peniaga di Jalan Silang di sini, yang didapati melanggar peraturan perniagaan dengan menyewakan premis mereka kepada warga asing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, lesen yang diberikan kepada pemilik haruslah digunakan sebaik mungkin, bukannya diberikan kepada warga asing untuk berniaga.

"Jadi, saya sedang mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenainya... ia juga adalah antara tumpuan utama DBKL dalam membanteras lambakan peniaga warga asing yang terus menguasai lokasi perniagaan utama di ibu kota," katanya.

Dr Zaliha berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kasih Harapan Kak Wan Siri 3, yang disempurnakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di sini hari ini.
WAN Azizah menyerahkan replika kunci rumah kepada Rosli Hamidon pada penyerahan kunci Program Rumah Kasih Harapan 2023 di Perumahan Awam Seri Johor, Cheras hari ini. FOTO Bernama.
WAN Azizah menyerahkan replika kunci rumah kepada Rosli Hamidon pada penyerahan kunci Program Rumah Kasih Harapan 2023 di Perumahan Awam Seri Johor, Cheras hari ini. FOTO Bernama.
Beliau berkata, pihaknya kini menunggu maklumat menyeluruh daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah melaksanakan operasi bersepadu itu di Jalan Silang semalam.

Semalam, seramai 1,101 pendatang asing tanpa izin ditahan hasil serbuan terhadap 60 premis di sekitar Jalan Silang, hasil daripada operasi bersepadu yang dijalankan PGA PDRM bagi membanteras jenayah yang berlaku sekitar kawasan itu.

Sementara itu, Dr Zaliha dalam ucapannya berkata, program Rumah Harapan Kasih Kak Wan merupakan penghubung antara masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan dengan pelbagai agensi kerajaan, korporat dan pertubuhan bukan kerajaan yang sedia menghulurkan bantuan dan perkhidmatan bagi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, program itu yang menyediakan kemudahan pengubahsuaian tanpa kos kepada penduduk terpilih bagi mengubahsuai satu unit rumah, menunjukkan kerajaan komited untuk meningkatkan lagi taraf hidup rakyat khususnya rakyat miskin bandar supaya dapat memperbaiki persekitaran rumah.

"Saya yakin program ini akan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat menerusi perkongsian perkhidmatan, maklumat dan kepakaran daripada semua pihak yang memerlukan," katanya.

Tiada ulasan: