"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tertuduh langgar pelajar diberi 'layanan' berbeza daripada kebiasaan

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my

Ipoh: Pegawai kanan polis yang didakwa membunuh pelajar lelaki berusia 17 tahun diberi kawalan ketat ketika dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini bagi berdepan dengan pertuduhan.

Kawalan ketat luar daripada kebiasaan itu menimbulkan persoalan mengenai layanan 'double standard' dalam kalangan kira-kira 30 pengamal media yang hadir.

Rata-rata pengamal media turut mengakui perkara berkenaan dengan menyifatkan liputan kes itu tidak dapat dilakukan seperti biasa sebagaimana pesalah lain yang dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tertuduh sebelum itu dilihat sudah berada dalam kamar perbicaraan kira-kira 9.05 pagi dengan pengamal media khususnya jurugambar dan juruvideo yang menunggu seawal jam 7.45 pagi di pintu pagar mahkamah tidak menyedari ketibaannya.

Sejurus sebelum dibawa masuk ke galeri mahkamah, beberapa anggota polis yang mengiringi tertuduh cuba menghalang laluan biasa digunakan oleh pengamal media bagi merakam visual orang kena tuduh (OKT) di mahkamah itu.

Ketika dibawa keluar dari kompleks mahkamah, tertuduh dipercayai dibawa menaiki pacuan empat roda hitam bercermin gelap diiringi empat kenderaan lain yang turut dinaiki anggota polis beruniform Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Malah, kesemua kenderaan itu dilihat dipandu laju melalui tempat pengamal media berhimpun untuk merakam visual.

Terdahulu, tertuduh Mohd Nazri Abdul Razak, 44, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, atas tuduhan membunuh pelajar Tingkatan 5 pada 15 Disember lalu.

Tertuduh yang berpangkat Deputi Superintendan dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati, Kinta, di sini, antara 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari 15 Disember lalu.

Kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum dengan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Tiada ulasan: