"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cemburu punca lelaki tetak ibu saudara hingga mati

Bernama
Suspek berusia 29 tahun itu diselamatkan nelayan selepas terjun dari Jambatan Pulau Pinang.
GEORGE TOWN: Lelaki yang ditahan kerana menyerang dan menetak seorang wanita dengan parang sehingga maut di Raja Uda, Butterworth sebelum terjun dari Jambatan Pulau Pinang semalam dipercayai bertindak demikian kerana cemburu.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata siasatan lanjut berhubung motif serangan itu masih dijalankan dan lelaki berusia 29 tahun itu kini direman tujuh hari.

Sementara itu, Ketua Polis Seberang Perai Utara Mohd Asri Shafie ketika dihubungi Bernama berkata lelaki yang merupakan operator kilang itu ditahan sehingga 26 Dis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata mangsa yang juga ibu saudara kepada suspek merupakan peniaga pakaian.

“Polis akan merekodkan keterangan suspek dan beberapa saksi yang melihat kejadian tersebut bagi melengkapkan kertas siasatan kes itu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 11.10 pagi semalam, wanita berusia 42 tahun itu maut selepas diserang dan ditetak dengan sebilah parang oleh suspek yang kemudiannya bertindak terjun dari Jambatan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, suspek diselamatkan oleh nelayan sebelum diserahkan kepada polis dan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Sementara itu, Usuf Jan berkata polis mengenal pasti beberapa suspek terlibat dalam kejadian penjual nasi maut ditikam di tempat letak kereta sebuah apartment di Jalan Perak di sini, 5 Dis lepas.

Beliau berkata pihaknya percaya dapat menyelesaikan kes itu dalam masa terdekat berdasarkan beberapa perkembangan baharu.

“Saya tak boleh mendedahkan lebih lanjut berhubung siasatan kes itu kerana siasatan lanjut sedang dijalankan, kita bimbang ia akan mengganggu (siasatan),” katanya.

Beliau berkata tiga individu termasuk seorang wanita yang ditahan bagi membantu siasatan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam kejadian 6.18 petang itu, seorang lelaki warga emas berusia 60-an maut selepas ditikam 27 kali dengan pisau oleh seorang lelaki.

Tiada ulasan: