"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Soal terowong dan tebusan

Mohsin Abdullah

Beberapa hari lalu tentera Israel mengumumkan ia menemui terowong yang katanya paling besar di Gaza yang digunakan oleh Hamas. Israel bercakap mengenai terowong bukan perkara baru, malah sejak melancarkan serangan ke atas Gaza selepas insiden 7 Okt lalu terowong menjadi antara topik kegemaran rejim Tel Aviv.

Tidak perlu kita jadi pakar propaganda untuk tahu penemuan terowong yang dihebahkan ialah bagi menjustifikasi serangan Israel ke atas kediaman awam dan hospital di Gaza – tindakan kejam tenteranya yang dikecam masyarakat antarabangsa.

Apabila melancar perang selepas 7 Okt lalu Israel mengulangi dengan kerap tuduhan Hamas mempunyai rangkaian terowong bawah tanah di Gaza. Terowong kata mereka digunakan untuk menyerang tenteranya. Di bawah Hospital Al Shifa umpamanya didakwa mempunyai terowong luas yang menempatkan pusat arahan atau command centre ala ‘mini Pentagon’.

Lalu dengan menayangkan kepada dunia akan terowong Hamas yang ditemuinya, Israel berharap masyarakat antarabangsa akan faham mengapa ia membedil dan menyerang hospital. Kononnya ia menyasarkan ‘infrastruktur pengganas’ di sebalik hospital dan mangsa serangan – sama ada pesakit, kanak kanak serta wanita dan pasukan perubatan dianggap mangsa perang dan serangan ialah akibat peperangan. Consequences of war.

Tetapi tidak pula ditampilkan bukti dalam bentuk video mahupun gambar yang menunjukkan command centre wujud di bawah Hospital Al Shifa umpamanya. Apa yang Israel papar untuk tontonan dunia hanya terowong. Diakui ada rangkaian terowong yang menakjubkan seperti boleh memuatkan kenderaan tetapi kewujudan terowong bawah tanah di Gaza bukanlah suatu rahsia yang dikawal rapi. Hamas sendiri sering membawa wartawan agensi berita antarabangsa masuk ke terowong untuk membuat liputan.

Saya petik artikel di Al Jazeera tempoh hari yang ditulis Eman Mohammed, seorang rakyat Palestin Amerika yang bertugas sebagai wartawan foto. Kata Eman setiap hari beliau dengar perkataan “terowong” dan “orang tebusan” melalui laporan media atau perbualan yang mengutuk “satu pertubuhan pengganas”. Tetapi kata Eman perkataan itu mempunyai konotasi berbeza buat beliau.

“Bagi saya dan rakyat Palestin di Gaza terowong sudah menjadi seperti satu infrastruktur yang perlu. Pada 2007 Israel mengenakan satu kepungan yang melemahkan kami. Sebagai kuasa yang menduduki wilayah kami ia boleh menenentukan apa yang boleh masuk menerusi lintasan sempadanan temasuk Rafah di perbatasan Mesir,” kata Eman yang dilahirkan dan membesar di Gaza.

Sepanjang 16 tahun lalu, kata beliau, Israel sewenang-wenangnya melarang kemasukkan pelbagai barangan ke Gaza, yang disifatkan satu bentuk hukuman kolektif. “Sebagai contoh pada 2009 Israel membuat keputusan pasta tidak boleh dibawa masuk. Ya pasta,” kata beliau.

Maka rakyat Palestin mengorek dan membina terowong bawah tanah untuk membawa masuk pasta dan barangan keperluan yang diharamkan Israel. Dengan adanya rangkaian terowong bekalan makanan, ubat, dan lain-lain dapat mengalir masuk.

Menurut Eman, “semasa anak perempuan saya yang sulung dilahirkan pada 2011 saya memerlukan ubat untuk ketidakselesaan perutnya. Tetapi ia tidak ada di jual di kedai di Gaza. Syukur saya mendapatnya menerusi bekalan terowong.”

Ertinya terowong sebahagian feature penting bagi rakyat Palestin di Gaza. Namun katanya pergerakan bebas keluar masuk Gaza tidak boleh dilakukan meskipun adanya terowong dan keadaan ini terjadi lama sebelum Hamas wujud.

“Orang tebusan satu lagi istilah yang mempunyai maksud berbeza di dalam minda saya,” kata Eman. Kata beliau sekarang ramai yang mendesak semua tebusan Israel dibebaskan sebelum gencatan senjata boleh dipertimbangkan. Saya setuju. Semua tebusan awam mesti dilepaskan tanpa syarat tetapi ini mesti termasuk semua tebusan Palestin.”

Kata beliau ada ada lebih 2,000 rakyat Palestin yang kini ditahan dalam penjara Israel tanpa dituduh di mahkamah. Kebanyakannya kanak-kanak, sekecil 12 tahun. Bagi yang didakwa, mereka dibicarakan di tribunal tentera dan 95% daripada mereka pasti didapati bersalah.

“Israel satu-satunya negara di dunia yang mendakwa secara kerap kanak-kanak yang dihadapkan ke tribunal tentera. Apa kesalahan lazim? Baling batu ke arah tentera Israel. Budak-budak dijadikan banduan, dipisahkan secara paksa daripada keluarga mereka,” kata Eman.

Itu kisah kanak-kanak dalam penjara yang boleh dianggap tebusan. Namun Gaza secara keseluruhan sememangnya sebuah open-air prison dipagari kawat dan penduduk diawasi kamera CCTV. Semua penduduknya orang tebusan.

Israel terus bertindak ganas di Gaza yang semua sudah maklum. Gesaan dan saranan pelbagai pihak termasuk PBB tidak diendahkan. Israel yakin mereka akan menang. Ya melihat apa yang sedang mereka lakukan di Gaza nampak begitu.

Mereka sudah memerangi rakyat Palestin selama lebih 70 tahun tetapi hasrat mereka belum tercapai. Mereka masih tidak menang. Mungkin Israel ditakdirkan tidak akan menang walaupun nampak macam nak menang.

Tiada ulasan: