"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Restoran berputar Menara KL diarah tutup susulan perintah mahkamah

Rex Tan dan Ho Kit Yen
Atmosphere 360 telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk mengosongkan unit disewa mereka di Menara KL sebelum 4 Jan 2024.
PETALING JAYA: Sebuah restoran berputar terkenal di Menara KL diarahkan tutup berdasarkan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam notis yang dilihat FMT, Atmosphere 360 telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk mengosongkan unit sewa mereka di Menara KL sebelum 4 Jan 2024.

Perintah pengosongan itu dimohon oleh Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd dan pemiliknya ketika ini Hydroshoppe Sdn Bhd terhadap pemilik restoran, Asian Kitchen (M) Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Asian Kitchen Ringo Kaw ketika dihubungi FMT mengesahkan penutupan itu dan memberitahu mereka terkejut sebaik menerima notis berkenaan.

“Notis Mahkamah Tinggi diterima semalam dan mengarahkan kami tutup, ada ramai pelanggan pada masa itu.

“Sambutan Krismas dan Tahun Baru hampir tiba dan tempahan kami telah dilanjutkan ke tahun depan.

“Jadi kami tiada pilihan selain menawarkan bayaran balik kepada pelanggan, diharap pihak berkuasa dapat melayan kami dengan adil,” katanya.

Kaw berkata sebelum Hydropshoppe mengambil alih pengurusan Menara KL, pihak pengurusan terdahulu secara lisan menjanjikan restoran itu dilanjutkan tempoh penyewaan selama tiga tahun.

Bagaimanapun, katanya, Hydropshoppe hanya membenarkan restoran itu kekal sehingga akhir tahun.

“Kami juga telah membawa perkara itu ke mahkamah kerana pengambilalihan (Menara KL oleh Hydropshoppe) sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya.

Pada April, Pengarah Hydroshoppe Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh didakwa menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi faedah kepada bekas menteri komunikasi dan multimedia Annuar Musa berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur.

Asian Kitchen kemudiannya memfailkan saman terhadap Menara KL dan Hydroshoppe memohon pengisytiharan perpindahan saham daripada pengurusan terdahulu iaitu Telekom Malaysia (TM) adalah terbatal dan tidak sah.

Asian Kitchen mendakwa pemindahan saham itu “dicemari dengan isu-isu haram”, memetik tuduhan rasuah Hamid.

Hydroshoppe kemudiannya memfailkan permohonan memasukkan penghakiman ringkas terhadap restoran itu, bagi pengisytiharan bahawa perjanjian penyewaan antara Asian Kitchen dan Menara KL telah tamat pada 30 Jun.

Mereka juga mahu Atmosphere 360 mengosongkan unit restoran.

Mahkamah kemudiannya membuat keputusan memihak kepada Menara KL dan Hydroshoppe, menyebabkan Atmosphere 360 perlu mengosongkan unit itu.

Tiada ulasan: