"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BDS Malaysia: Bukan kami mula kempen boikot McDonald’s

Mohd Farhan Darwis
Nazari Ismail berkata, BDS Malaysia hanya menyokong kempen yang dimulakan rakyat.
KUALA LUMPUR: Sebuah gerakan yang menggalakkan pemboikotan terhadap kepentingan Israel menafikan ia memulakan kempen memboikot restoran McDonald’s di negara ini, sebaliknya mendakwa tindakan itu dimulakan rakyat Malaysia.

Pengerusi BDS Malaysia, Nazari Ismail berkata kumpulan itu sekadar menyokong usaha rakyat memboikot McDonald’s Malaysia.

“Kita tak buat kempen (gesa boikot McDonald’s Malaysia)…Kita tak mulakan, tapi kita menyokong usaha tersebut. Bukan kita mulakan, tapi kita tak bangkang,” katanya dalam perhimpunan pro-Palestin enam hari di luar Kedutaan Amerika Syarikat di sini.

Beliau berkata, McDonald’s Malaysia menyaman gerakan itu atas alasan “kita menghasut rakyat (untuk boikot) dan memfitnah dia”, sedangkan ia sekadar “endorse dan menyokong keputusan rakyat untuk memboikot McDonald’s Malaysia”.

BDS Malaysia entiti bebas terdiri daripada badan bukan kerajaan, kumpulan dan individu yang mempromosikan kebebasan, keadilan dan kesaksamaan terhadap Palestin menerusi boikot, lupus dan sekat.

Nazari berkata, pasukan guaman BDS yakin McDonald’s Malaysia tiada asas terhadap saman fitnah RM6 jutanya dan beliau hairan kenapa rangkaian restoran itu menyaman mereka.

“Kita serah kepada mahkamah,” katanya sambil menambah rakyat Malaysia akan menyokong gerakan itu dari segi kos perundangan, jika perlu.

McDonald’s Malaysia menuduh BDS memfitnah francais makanan segera itu melalui gesaannya untuk memboikot kerana dikatakan “bersubahat dengan Israel”.

Pernyataan tuntutan bertarikh 19 Dis lalu itu difailkan pemilik francais McDonald’s Malaysia, Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd.

Ia menuntut permohonan maaf tanpa syarat daripada BDS dan ganti rugi RM6 juta, termasuk RM3 juta kehilangan pendapatan, RM1.5 juta bagi pekerja diberhentikan dan RM1.5 juta untuk bahan makanan tamat tempoh.

Ia turut memohon injunksi terhadap BDS daripada gesaan memboikot. Pernyataan itu turut merujuk beberapa poster tertera logo McDonald’s Malaysia yang dikongsi BDS berkaitan syarikat didakwa “mendapat keuntungan daripada pembunuhan beramai-ramai”.

Tiada ulasan: