"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes bunuh pengawal keselamatan, sebar gambar bogel jadi punca

ENAM tertuduh kes bunuh didakwa di Mahkamah Majistret Selayang. FOTO Aswadi Alias
Lima individu termasuk dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pengawal keselamatan yang mayatnya ditanam di belakang sebuah rumah di Sungai Choh, Rawang, bulan lepas.

G Ganong Segaran, 34, dan adik perempuannya G Malani, 33, serta S Devi, 30, P Saravanan, 31, dan PK Vikinesvaran, 20, didakwa bersama-sama membunuh S Ashok, 20, di sebuah rumah di Jalan Sungai Buaya, Sungai Choh, Rawang antara 8 pagi hingga 3.30 petang, 23 Dis lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada  12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Di mahkamah sama, Ganong Segaran dan adik lelakinya, G Dandem Bain, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melupuskan keterangan berkaitan kesalahan menanam mayat Ashok dengan niat untuk mengelak pesalah-pesalah terlibat daripada dihukum.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada lokasi dan tarikh sama antara 3.30 petang hingga 8 malam, mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin tidak menawarkan jaminan, namun peguam Erni Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Dandem Bain memohon jaminan diberikan dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga.

“Anak guam saya mempunyai tiga anak yang masih bersekolah dan bekerja di sebuah syarikat swasta dengan pendapatan RM1,500 sebulan,” kata peguam itu.

Nur Hafizah membenarkan Dandem Bain diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai dan menetapkan 4 Mac ini untuk sebutan bagi kedua-dua kes.

Sebelum ini, Bernama melaporkan seorang lelaki maut dipukul dengan menggunakan kayu, botol dan tong besi oleh abang teman wanitanya sebelum mayatnya ditanam di kawasan semak di belakang rumah keluarga wanita itu di Sungai Choh, Rawang.

Polis mendedahkan motif pembunuhan lelaki itu kerana tidak berpuas hati penyebaran gambar bogel rakan tertuduh oleh mangsa.

- Bernama

Tiada ulasan: