"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kecoh Langkah Dubai, Langkah Chow Kit, 8 MP BERSATU ada 'langkah' lain?

Essa Abu Yamin
essabuyamin@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Rabu lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan wujud rancangan oleh Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan yang didakwanya menerusi proses demokrasi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Penjelasan itu dibuat Ketua Pengarah Pilihan Raya PN merangkap Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat berkenaan ketika gerakan dinamakan Langkah Dubai yang dikaitkan dengan usaha mengambil alih Putrajaya, kecoh diperkatakan.

"Saya tak fikir ia Langkah Dubai, (mungkin) Langkah Chow Kit kerana perkara itu dibincang di Kuala Lumpur. Saya rasa Dubai itu 'dummy' sahaja sebab mereka nak berjalan ke Dubai," kata Sanusi merujuk kumpulan Ahli Parlimen (MP) dari blok Kerajaan Perpaduan yang dikaitkan dengan gerakan berkenaan.

Sama ada usaha itu akan menjadi kenyataan, penganalisis politik berpandangan, ia hanya dapat diketahui selepas pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 pada Februari ini kerana pengambilalihan kerajaan perlu melalui proses berdasarkan peraturan dan undang-undang serta Perlembagaan negara.

Sidang Dewan Rakyat pada 26 Februari hingga 1 April depan juga ditunggu lapan lagi Ahli Parlimen PN daripada BERSATU, seperti dinyatakan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal hari ini, yang menjangkakan mereka akan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memaklumkan kumpulan itu ketika ini mengambil pendekatan tunggu dan lihat serta menanti masa yang sesuai, bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu menegaskan, kenyataannya sebelum ini mengenai lapan MP BERSATU itu masih relevan.

"Tunggu dan lihat kerana Parlimen akan kembali bersidang pada 28 Februari dan ketika itu akan bermula. Kini mereka sedang menunggu dan melihat apa akan berlaku dalam tempoh dua bulan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika program Jualan Termurah, Khidmat Demi Rakyat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sini hari ini.

Pada 11 Disember lalu, Syed Abu Hussin Hafiz mendakwa ada tujuh atau lapan lagi Ahli Parlimen PN dari beberapa negeri, bakal menyatakan sokongan kepada Anwar, namun pada sidang medianya itu, beliau enggan mendedahkan identiti mereka, sama ada daripada PAS atau BERSATU.

"Dulu, saya kata ada lima atau enam orang, (namun) sekarang ada tujuh atau lapan orang (bakal menyatakan sokongan kepada Anwar). Nama (mereka) saya tidak boleh maklumkan di sini. Tunggu dan lihat, bakal ada pengumuman mereka yang akan menyokong Kerajaan MADANI," katanya ketika itu.

Pada sidang media bulan lalu itu juga, beliau turut mengesahkan sebahagian daripada mereka telah berhubung dengannya untuk menyatakan sokongan kepada Anwar.

Sebelum ini, Syed Abu Hussin Hafiz menyertai empat lagi MP BERSATU mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, iaitu Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 November 2022 dan pembentukan Kabinet diumumkan pada 2 Disember 2022.

Tiada ulasan: