"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ceroboh rumah MB, 3 termasuk wartawan direman

FMT Reporters
Terdahulu, tular video dan laporan di platform media sosial X bahawa seorang lelaki dipercayai wartawan ditangkap cuba curi masuk ke kediaman rasmi menteri besar Selangor di Shah Alam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Tiga lelaki direman selepas disyaki menceroboh kediaman rasmi Menteri Besar Selangor Amirudin Shari di Shah Alam, semalam.

Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata siasatan mendapati semua suspek menaiki Proton Waja untuk masuk ke kediaman itu tanpa mengemukakan sebarang jemputan secara rasmi daripada kerajaan negeri.

“Bertindak atas maklumat, pada 7.30 semalam, tangkapan dilakukan ke atas semua suspek bersama rampasan Proton Waja digunakan mereka.

“Suspek adalah tiga lelaki berusia 31 hingga 35 tahun bertugas sebagai pengamal media tempatan dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Mereka memberi alasan untuk menghadiri mesyuarat di kediaman rasmi menteri besar Selangor tetapi tidak mempunyai jemputan rasmi.

“Semua tangkapan dibenarkan reman dua hari hingga 7 Jan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan dilakukan bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga tiga bulan atau denda hingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku,” katanya.

Terdahulu, tular video dan laporan di platform media sosial X bahawa seorang lelaki dipercayai wartawan ditangkap cuba curi masuk ke pekarangan kediaman Amirudin di Shah Alam.

Dalam laporan polis dibuat, pembantu Amirudin, Musa Zin, berkata beliau dimaklumkan seorang lelaki ditangkap cuba memasuki kediaman itu dengan bersembunyi di tempat duduk belakang kereta.

Tiada ulasan: