"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PDRM laksana operasi ambang tahun baharu besar-besaran seluruh negara

Bharianonline

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melaksanakan operasi bersepadu ambang tahun baharu secara besar-besaran di seluruh negara membabitkan semua kontinjen serta daerah bermula jam 8 malam hingga jam 5 pagi.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata operasi itu membabitkan 4,378 pegawai dan anggota PDRM selain pelbagai agensi penguat kuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen Malaysia.

"Operasi bertujuan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan lalu lintas dengan memantau pergerakan aliran trafik di lokasi tumpuan selain membanteras aktiviti samseng jalanan serta mencegah pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang boleh mendatangkan risiko kemalangan atau halangan di jalan raya.

"Konsep penugasan terbahagi kepada dua iaitu kawalan lalu lintas bagi kelancaran aliran trafik sempena sambutan tahun baharu dan operasi penguatkuasaan ambang tahun baharu," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, terdapat 17 lokasi sambutan ambang tahun baharu di Lembah Klang iaitu 10 di Kuala Lumpur dan selebihnya di Selangor.

"Walaupun tiada sambutan secara rasmi diadakan di Dataran Merdeka dan Kuala Lumpur City Centre (KLCC), PDRM turut meletakkan petugas bagi memantau keselamatan serta ketenteraman awam di lokasi tersebut selain membantu melancarkan aliran trafik sekiranya berlaku kesesakan yang ketara.

"PDRM khususnya JSPT meminta semua pengguna jalan raya agar sentiasa patuhi peraturan di jalan raya, bersikap toleransi, berhemah, berhati-hati dan fokus kepada pemanduan.

"Patuhi arahan petugas yang melaksanakan penugasan di lapangan bagi memberi keselesaan kepada semua pengguna jalan raya dan orang ramai," katanya.– BERNAMA

Tiada ulasan: