"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 warga asing ditahan, rempuh sekatan jalan raya

FMT Reporters
Dua lelaki warga asing yang menaiki kereta Myvi itu ditahan polis selepas merempuh sekatan jalan raya di susur keluar Damansara Jaya ke Lebuhraya Sprint, Petaling Jaya semalam.
PETALING JAYA: Polis menahan dua warga asing dalam sebuah kereta yang merempuh seorang anggotanya dalam sekatan jalan raya di susur keluar Damansara Jaya ke Lebuhraya Sprint, Petaling Jaya semalam.

Ketua Polis Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata dua warga asing itu ditangkap selepas dikejar peronda polis sejauh 2km, sebelum kereta Myvi yang dinaiki suspek terbabas di Seksyen 17/50, Petaling Jaya.

Anggota polis yang dilanggar kenderaan suspek di sekatan jalan raya itu patah tapak tangan kanan.

“Siasatan lanjut ke atas suspek membawa kepada rampasan wang tunai pelbagai mata wang asing berjumlah RM9,839.85 dan beberapa peralatan pecah rumah antaranya gerudi tangan, tukul, gunting, pemutar skru, dan gergaji.

“Kedua-dua suspek disahkan negatif dalam ujian air kencing dan semakan juga mendapati mereka tidak memiliki sebarang rekod kesalahan jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan.

Kedua-dua suspek direman selama enam hari sehingga 8 Jan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28 (i) Akta Kesalahan Kecil kerana memiliki peralatan pecah rumah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah diminta menyalurkannya di balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya.

Tiada ulasan: