"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mayat wanita tanpa kepala, anggota badan ditemukan

FMT Reporters
Beberapa anggota polis masih lagi mencari anggota badan mangsa yang hilang selepas mayatnya ditemukan di Pulau Sebang, Alor Gajah. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Mayat seorang wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki ditemukan dalam tong sampah di Pulau Sebang, Alor Gajah, akhir bulan lalu.

Ketua Polis Alor Gajah, Arshad Abu, berkata mangsa dipercayai dibunuh sebelum disumbat ke dalam tong sampah dan dibuang ke longkang di tepi jalan Alor-Gajah-Tampin berhampiran Kampung Rimau.

Menurutnya, mayat tanpa pakaian itu ditemukan kira-kira 2 petang, 31 Dis lalu.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan mayat sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.

“Hanya bahagian badan ditemukan dengan kepala, kedua-dua tangan dan kaki dari paras lutut ke bawah dipercayai dipotong, selain terdapat sehelai kain merah di bawah mayat.

“Selain itu, identitinya juga tidak ditemukan pada mayat dianggarkan berusia 20 hingga 30-an itu, namun pakar patalogi mengesahkan mangsa seorang wanita,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Beliau berkata mayat itu ditemui dalam keadaan mula mereput dan sudah kering serta disyaki sudah meninggal dunia antara tujuh hingga 10 hari.

Katanya, polis telah menjalankan ujian DNA ke atas dua kes orang hilang dalam tempoh sebulan lalu, namun keputusannya negatif.

“Kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Berikutan itu, kita menyeru mana-mana pihak yang kehilangan ahli keluarga terdekat mahupun individu yang dikenali ataupun mempunyai maklumat berkenaan kejadian tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

“Orang ramai boleh menghubungi balai polis berhampiran atau berhubung terus di talian IPD Alor Gajah ditalian o6-5562222 ataupun Pegawai Penyiasat Kanan Mohd Ali Hanafiah Hasim di talian 019-9536277,” katanya.

Tiada ulasan: